Saintis beri ura-ura pencipta vaksin COVID-19 mungkin calon Hadiah Nobel Perubatan tahun ini
Para saintis yang mencipta vaksin-vaksin COVID-19 mungkin dicalonkan sebagai pemenang Hadiah Nobel bagi Perubatan walaupun pandemik masih belum berlalu.
STOCKHOLM: Para saintis yang mencipta vaksin-vaksin COVID-19 mungkin dicalonkan sebagai pemenang Hadiah Nobel bagi Perubatan walaupun pandemik masih belum berlalu.
Sesetengah saintis berkata ia hanya menunggu masa - sekiranya kerja keras mereka mencipta vaksin tidak diiktiraf apabila pemenang Hadiah Nobel bagi Perubatan diumumkan pada Isnin depan (4 Okt), ia akan memenangi anugerah dalam beberapa tahun akan datang.
Lebih 4.7 juta orang meninggal dunia akibat COVID-19 sejak kes pertama virus itu dilaporkan pada 2019 dan banyak negara masih melaksanakan langkah-langkah sekatan ketat bagi membendung penularannya.
Namun vaksin COVID-19 membantu beberapa negara-negara kaya untuk kembali meneruskan kehidupan secara normal manakala ada sesetengah negara yang masih belum menerima jumlah banyak dos vaksin.
Antara yang dijangkakan oleh saintis-saintis lain sebagai berpotensi menjadi pemenang Hadiah Nobel bagi Perubatan itu adalah saintis kelahiran Hungary Katalin Kariko dan rakyat Amerika Syarikat Drew Weissman, yang mencipta apa yang dikenali sebagai vaksin mRNA.
Vaksin-vaksin mRNA, yang dicipta oleh Moderna serta Pfizer dan rakan kongsi dari Jerman BioNTech, merevolusikan perjuangan menentang virus itu. Ia juga cepat untuk dihasilkan dan sangat berkesan.
"Kaedah ini akan menerima anugerah dalam masa terdekat atau lambat laun, itu yang saya pasti," kata Ali Mirazami, seorang profesor di Jabatan Perubatan Makmal di Institut Karolinska di Sweden. "Soalnya adalah bila."
Vaksin-vaksin tradisional yang memperkenalkan virus lemah atau sudah mati untuk merangsang sistem imun tubuh, boleh mengambil masa selama sedekad atau lebih daripada itu untuk dicipta. Vaksin mRNA Moderna melalui proses penjujukan gen sehingga suntikan pertama ke dalam manusia hanya dalam masa 63 hari.
USAHA SELAMA BERDEKAD-DEKAD
mRNA pertama kali ditemui pada 1961. Namun ia mengambil masa selama berdekad-dekad untuk para saintis mencipta kaedah mRNA untuk mengubati masalah seperti ketidakstabilan dan punca keradangan.
Para pencipta kini berharap ia boleh digunakan untuk merawat penyakit barah dan HIV pada masa akan datang.
"Selain daripada hakikat bahawa ia terbukti dapat mencetuskan respons imun yang sangat berkesan, anda tidak perlu menyesuaikan pengeluaran setiap kali anda menghasilkan vaksin yang baru," kata Adam Frederik Sander Bertelsen, Profesor Madya di Universiti Copenhagen yang juga ketua pegawai saintifik di syarikat vaksin Adaptvac.
"Ia sebenarnya menyelamatkan ribuan nyawa disebabkan oleh kepantasan dan kecekapannya."
Encik Kariko, 66 tahun, membangunkan asas vaksin-vaksin mRNA dan Encik Weissman, 62 tahun merupakan penyumbang jangka panjang.
"Mereka adalah pemikir di sebalik penemuan mRNA," kata Encik Mirazami. Menurutnya lagi: "Mereka mungkin terlalu muda, jawatankuasa (Nobel) lazimnya akan menunggu sehingga para penerima berada dalam lingkungan usia 80an tahun."
Encik Kariko bersama rakan-rakan sekerjanya di Universiti Pennsylvania membuat penemuan baru dengan mencari jalan bagaimana untuk menyampaikan mRNA tanpa menyebabkan sistem daya imun tubuh bekerja terlalu keras.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.