Saingan tiga penjuru antara PH, PN & Bebas dalam PRK di Pulai, Simpang Jeram

Sekatan di sekitar Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Pulai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim pada 26 Ogos 2023. (Gambar: BERNAMA)
Bagi Parlimen Pulai, calon-calonnya terdiri daripada mantan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor Suhaizan Kaiat dari Pakatan Harapan (PH), Zulkifli Jaafar dari Perikatan Nasional (PN) dan Samsudin Mohamad Fauzi, calon bebas yang akan menggunakan simbol kunci.
Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Pulai, Miswan Yunus pada Sabtu (26 Ogos).
Terdahulu, Encik Suhaizan yang diiringi seorang pencadang dan penyokong menyerahkan borang pencalonan pada 9.02 pagi, diikuti Encik Zulkifli dua minit kemudian, manakala Encik Samsudin pada 9.08 pagi.
Di Muar, tiga calon yang diumumkan layak bertanding ialah calon PH, Nazri Abdul Rahman yang merupakan Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri, calon PN iaitu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Mazri Yahya dan calon bebas yang merupakan ahli perniagaan, S.Jeganathan.
Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya N13 Simpang Jeram Jamil Hasni Abdullah pada 10.10 pagi di Pusat Penamaan Calon Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Muar.
Sebelum itu, Encik Jamil Hasni memaklumkan, borang pencalonan daripada Dr Mohd Mazri, yang merupakan pakar perunding vaskular dan pakar bedah endovaskular, diterima pada 9.04 pagi, diikuti daripada Encik Nazri, bekas jurutera di Majlis Perbandaran Muar pada 9.08 pagi dan Jeganathan pada 9.18 pagi.
Encik Jeganathan akan menggunakan simbol gajah pada PRK berkenaan.
Berdasarkan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Parlimen Pulai mempunyai 166,653 pemilih dengan 165,799 pengundi biasa; 927 terdiri daripada polis dan pasangan serta pengundi tidak hadir (PTH) luar negara 26 orang.
Kumpulan pengundi terbesar di Parlimen Pulai meliputi lingkungan umur 21 hingga 29 tahun iaitu 21.05 peratus daripada jumlah pengundi atau 35,074, orang; diikuti 34,235 pengundi (20.5 peratus) daripada umur 30 hingga 39 tahun, manakala kategori 40 hingga 49 tahun mencatatkan 32,271 orang (19.3 peratus).
DUN SIMPANG JERAM
Sementara itu bagi DUN Simpang Jeram pula melibatkan 40,379 orang pemilih yang terdiri daripada 40,373 orang pengundi biasa dan enam orang pengundi tidak hadir, berada di luar negara.
Kumpulan pengundi terbesar di DUN Simpang Jeram meliputi lingkungan umur 30 hingga 39 tahun iaitu 23.1 peratus daripada jumlah pengundi atau 9,326 orang, diikuti 9,160 pengundi (22.6 peratus) daripada umur 21 hingga 29 tahun, manakala kategori 40 hingga 49 tahun mencatatkan 7,113 orang (17.6 peratus).
SPR menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini sehingga 11.59 pada 8 Sep dengan pengundian awal 5 September dan hari pengundian pada 9 September.
Kedua-dua PRK itu diadakan menyusuli kematian penyandangnya Allahyarham Salahuddin Ayub, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pada 23 Julai lepas.
Timbalan Presiden Amanah itu mempertahankan kedua kerusi berkenaan buat kali kedua selepas memenanginya pada Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac tahun lepas dan Pilihan Raya Umum ke-15 pada November tahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.