Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Saingan sengit berbilang penjuru bagi semua 56 kerusi dalam PRN Johor

Anggaran Waktu Membaca:
Saingan sengit berbilang penjuru bagi semua 56 kerusi dalam PRN Johor

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 26 Feb 2022 02:31PM Dikemas Kini : 26 Feb 2022 02:41PM

JOHOR: Sebanyak 239 calon akan bertanding bagi merebut 56 kerusi dalam pilihan raya negeri ke-15 Johor, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) hari ini (26 Feb).

Tiada persaingan satu lawan satu dalam pilihan raya kali ini.

Pengerusi EC Abdul Ghani Salleh memberitahu semasa sidang media selepas penamaan calon ditutup, bahawa Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan bertanding bagi kesemua 56 kerusi.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin menyaksikan saingan sengit enam penjuru dengan lima daripadanya merupakan muka baru, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, lapor Bernama.

Mereka ialah calon Barisan Nasional (BN) yang diwakili Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah, Mohamad Riadz Mohamad Hashim daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rasid Abu Bakar (Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA)) dan calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Bujang.

Saingan di kerusi DUN Larkin itu juga menyaksikan penyertaan calon Bebas, NorRamadan Buan. 

Dr Zamil Najwah Arbain daripada PKR yang pernah bertanding di DUN Tanjung Surat namun tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kini bersaing untuk merebut kerusi DUN Larkin pada PRN Johor.

Senarai muktamad calon yang layak bertanding di DUN itu sudah diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abdul Rahman Salleh di Pusat Penamaan Calon di Dewan JKR Daerah Johor Bahru pada 26 Februari.

Pada PRU14, kerusi DUN Larkin dimenangi oleh Mohd Izhar Ahmad yang bertanding atas tiket PKR menewaskan, Yahya Ja’afar (BN) dan Zakiah Tukirin (PAS) dengan majoriti undi 8,590.

DUN Kempas dan Tiram menyaksikan persaingan sengit dengan pertandingan tujuh penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

Kerusi DUN Kempas menyaksikan pertandingan antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Ramlee Bohani, Napsiah Khamis Maharan (PKR), Nornekman Osman daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Nur Faizal Abdullah mewakili Perikatan Nasional (PN) dan tiga calon Bebas iaitu Mohd Azwan Abd Rahman, Mohd Suhimi A Rahman dan Mohd Hambali Munadi.

Sementara itu, kerusi DUN Tiram pula melibatkan pertandingan antara Azizul Bachok daripada BN, Karim Deraman (PN), Abdul Aziz Harun (Pejuang), S. Gopalakrishnan (PKR), Mohd Azmi Ali (PBM) dan dua calon Bebas iaitu P.Bala Sundaram dan J.Jayasangkar.

Pertembungan enam penjuru pula berlaku di empat kerusi DUN iaitu di Bukit Pasir, Maharani, Puteri Wangsa dan Larkin manakala pertandingan lima penjuru pula di lapan kerusi iaitu di DUN Tangkak, Bukit Naning, Semerah, Senggarang, Endau, Permas, Stulang dan Kota Iskandar. 

PRN Johor yang melibatkan 56 kerusi DUN juga menyaksikan pertembungan empat penjuru di 35 kerusi DUN manakala pertandingan tiga penjuru di tujuh kerusi DUN.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan