Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Saingan enam penjuru di Parlimen Padang Serai, lima calon bertanding di Dun Tioman

Anggaran Waktu Membaca:
Saingan enam penjuru di Parlimen Padang Serai, lima calon bertanding di Dun Tioman

Gambar: Agensi Berita

Diterbitkan : 24 Nov 2022 01:28PM Dikemas Kini : 24 Nov 2022 01:28PM
KULIM: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai, yang ditangguhkan pengundiannya sebelum ini berikutan kematian seorang calon, menyaksikan pertembungan enam penjuru selepas proses penamaan tamat 10 pagi Khamis (24 Nov).

Saingan itu melibatkan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Mohamad Sofee Razak, C. Sivaraajh (Barisan Nasional), Azman Nasrudin (Perikatan Nasional) dan Hamzah Abd Rahman (Pejuang).

Dua lagi pencabar adalah Mohd Bakhri Hashim mewakili Warisan dan calon Bebas Sreanandha Rao.

Encik Mohamad Sofee, yang baru diumumkan semalam sebagai calon PH tiba di Pusat Penamaan Calon kira-kira jam 8.30 pagi tadi, manakala semua calon lain yang telah sah dinamakan pada 5 Nov lepas turut hadir bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan susunan nama pada kertas undi.

Bagaimanapun, calon Warisan tidak hadir bagi proses cabutan undi itu dan ia tidak menjejaskan peluang beliau untuk bertanding memandangkan pencalonan beliau telah disahkan sebelum ini.

Dalam pada itu, persaingan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan seorang Bebas. 

Calon wanita tunggal Nor Idayu Hashim yang mewakili PN dicabar oleh calon BN Mohd Johari Hussain yang juga penyandang kerusi itu, selain Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas). 

Pegawai Pengurus pilihan raya Ahmad Nasim Mohd Sidek mengumumkan senarai calon yang bertanding pada 10.50 pagi, selepas proses penamaan calon di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah ditutup pada 10.00 pagi.

"Kita menerima kertas pencalonan baru daripada seorang calon pada hari ini, manakala calon yang telah disahkan pencalonan pada 5 Nov lepas tidak perlu menghantar kertas pencalonan mereka hari ini. 

"Setelah selesai kertas-kertas pencalonan disemak, saya berpuas hati dan memutuskan tiada calon yang ditolak kertas pencalonannya," katanya. 

Pada hari ini, hanya Nor Idayu hadir bagi mengemukakan kertas pencalonan manakala calon lain hadir untuk proses undian bagi menentukan susunan nama pada kertas undi. 

Bagaimanapun, calon PH hanya diwakili wakilnya, Manan Mohamad dalam proses itu kerana difahamkan beliau berada di ibu kota.  

Cuaca cerah di pusat penamaan hari ini, membolehkan ratusan penyokong PN dan BN berkumpul di luar pagar pusat penamaan sebagai tanda sokongan kepada calon mereka manakala tiga lagi calon yang bertanding tidak membawa penyokong.  

PRU15 DUN Tioman ditangguhkan selepas calon PN bagi kerusi itu, Md Yunus Ramli, 61 tahun, meninggal dunia pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses pengundian diadakan pada 7 Dis ini, dengan 3 Dis ditetapkan sebagai hari pengundian awal. 

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Sumber : Bernama/SU/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa