Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Saifuddin Nasution akan dapatkan pandangan Ketua Polis M'sia isu dana RM600 bilion

Anggaran Waktu Membaca:
Saifuddin Nasution akan dapatkan pandangan Ketua Polis M'sia isu dana RM600 bilion

Menteri Dalam Negeri Malaysia Saifuddin Nasution Ismail bercakap semasa sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 6 Dis 2022. (Gambar: Bernama)

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Malaysia Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkenaan isu dana RM600 bilion (S$185 bilion) didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

Encik Saifuddin Nasution berkata, beliau akan mendapatkan pandangan daripada Ketua Polis Negara mengenai isu dibangkitkan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dalam sidang media semalam (5 Dis).

“Beliau (Encik Anwar) juga ada membuat satu kenyataan umum pada semalam dan (Encik Anwar berkata) akan serahkan (isu itu) kepada satu badan siasatan untuk meneliti perkara itu secara spesifik.

“Sudah tentu saya akan dapatkan pandangan daripada pihak badan siasatan berkaitan, kalau ia berkaitan PDRM (Polis Diraja Malaysia) ia dalam bidang kuasa kita, jika berkaitan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tentu mereka siasat,” katanya.
 
Encik Saifuddin Nasution berkata demikian pada sidang media selepas menerima sesi taklimat Kementerian Dalam Negeri (KDN) oleh Ketua Setiausaha KDN Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz di Kompleks KDN di Putrajaya pada Selasa (6 Dis).

Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19 pernah dibangkitkan mantan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari pada 15 Nov lalu.

Semalam juga, mantan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata beliau tidak takut untuk disiasat susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM600 bilion ketika mengetuai pentadbiran sebelum ini. 

Sementara itu, mengulas sama ada PDRM akan membuka kertas siasatan ke atas Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan politik wang semasa Pilihan Raya Umum ke-15 sebelum ini, beliau berkata ia akan disiasat jika mempunyai asas kukuh.

“Saya percaya tentang tahap profesionalisme pasukan polis, saya berikan sepenuh ruang dan kebebasan kepada Acryl dan pasukannya,” katanya.

Sebelum ini, pihak berkuasa digesa supaya menyiasat kenyataan Muhammad Sanusi berhubung penyokong parti Perikatan Nasional yang menuntut ganjaran kerana pulang mengundi.

Sementara itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh membuka ruang salah faham atau membangkitkan sentimen yang mengancam kehidupan harmoni dalam negara.

Terdahulu Encik Saifuddin Nasution tiba dan mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas rasminya di kementerian itu pada 9.28 pagi sebelum diberi taklimat pengurusan KDN yang disampaikan oleh Encik Wan Ahmad Dahlan.
Sumber : Bernama/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan