Skip to main content

Dunia

Saham syarikat penerbangan Asia merosot sedang konflik Amerika-Iran jejas perjalanan udara

Saham syarikat penerbangan merosot pada Isnin (2 Mac), dengan Cathay Pacific Hong Kong, Qantas Airways Australia, Singapore Airlines dan Japan Airlines turun lebih 5 peratus.
Anggaran Waktu Membaca:
Saham syarikat penerbangan Asia merosot sedang konflik Amerika-Iran jejas perjalanan udara

Pesawat Airbus A350 Cathay Pacific dilihat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, di Hong Kong, China pada 3 September 2024. (Gambar: Reuters/Tyrone Siu/Gambar fail)

Diterbitkan : 02 Mar 2026 03:00PM
SYDNEY: Saham syarikat penerbangan merosot pada Isnin (2 Mac), dengan Cathay Pacific Hong Kong, Qantas Airways Australia, Singapore Airlines dan Japan Airlines turun lebih 5 peratus.

Ini menyusuli serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, yang mengganggu perjalanan udara dan menyebabkan harga minyak melonjak.

Perjalanan udara global kekal dalam keadaan tidak menentu apabila perang di Iran memaksa penutupan hab utama Timur Tengah, termasuk Dubai dan Doha, untuk hari ketiga, sekali gus menjejas puluhan ribu penumpang di seluruh dunia.

Harga minyak melonjak 7 peratus ke paras tertinggi dalam beberapa bulan apabila Iran dan Israel meningkatkan serangan di Timur Tengah, merosakkan kapal tangki dan menjejas penghantaran dari rantau pengeluar utama.

Saham Qantas jatuh 10.4 peratus ke paras terendah dalam 10 bulan semasa pembukaan pasaran di Australia, sebelum memulihkan sebahagian kerugian untuk berdagang sekitar 6 peratus lebih rendah, walaupun syarikat itu tidak terbang ke Timur Tengah dan bergantung pada perkongsian kod dengan Emirates Dubai.

Saham syarikat penerbangan Asia lain, termasuk ANA Holdings Jepun, Air China, China Southern Airlines, China Eastern Airlines, AirAsia X Malaysia dan China Airlines serta EVA Airways Taiwan semuanya jatuh sekurang-kurangnya 4 peratus.

“Jualan besar-besaran saham syarikat penerbangan Asia mencerminkan kebimbangan pasaran terhadap kos bahan api yang lebih tinggi, pembatalan penerbangan, dan kos tambahan akibat pengalihan penerbangan menyusuli penutupan ruang udara dan lapangan terbang,” kata penganalisis ekuiti Morningstar, Nicole Lim.

Namun beliau berkata kebanyakan syarikat penerbangan Asia sebahagiannya melindungi pendedahannya terhadap harga bahan api mereka, mengurangkan impak lonjakan harga jangka pendek, dan sesetengah syarikat boleh meraih manfaat daripada tempahan oleh penumpang yang terjejas akibat penerbangan dibatalkan.

Cathay Pacific, yang sahamnya jatuh sehingga 7 peratus sebelum memulihkan kerugian kepada 2.9 peratus, berkata ia sudah membatalkan semua penerbangannya ke Timur Tengah, termasuk perkhidmatan penumpang ke Dubai dan Riyadh, sehingga diberitahu kelak.

“Kami mengecualikan caj tempahan semula dan pengalihan penerbangan untuk pelanggan yang terjejas,” kata syarikat itu.

Singapore Airlines membatalkan penerbangan ke dan dari Dubai sehingga 7 Mac, manakala Japan Airlines menangguhkan penerbangan Tokyo-Doha buat sementara waktu.

“Bagi syarikat penerbangan Asia (Timur), jumlah penerbangannya ke lapangan terbang yang ditutup adalah agak terhad,” kata penganalisis penerbangan bebas yang berpangkalan di Singapura, Brendan Sobie.

“Tetapi sudah tentu, anda menghadapi potensi impak harga minyak yang lebih tinggi dan ketidakstabilan politik atau ekonomi global secara keseluruhan.”

Beliau menambah bahawa syarikat penerbangan India berada dalam kedudukan yang agak tidak menguntungkan kerana jadual penerbangannya yang banyak ke Timur Tengah, kebanyakannya untuk pekerja hijrahan, dan larangan menggunakan ruang udara Pakistan menjejas penerbangan ulang-alik mereka ke Eropah.

Air India menyatakan penerbangannya antara India dan Zurich, Copenhagen dan Birmingham dibatalkan pada Isnin bersama penerbangan ke Amiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Israel dan Qatar.

Ia menambah bahawa penerbangan Air India ke New York dan Newark akan berhenti di Rome untuk mengisi bahan api.

Penyedia data VariFlight menyatakan syarikat penerbangan di China setakat ini membatalkan 26.5 peratus penerbangan ulang-alik ke Timur Tengah dari 2 Mac hingga 8 Mac.
Sumber : Reuters/IM/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita