Skip to main content

Dunia

Saham global susut selepas Rizab Persekutuan Amerika naikkan kadar faedah, beri isyarat kenaikan lanjut

Pasaran saham global merosot pada Rabu (16 Sep) selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menaikkan kadar faedah dan memberi isyarat bahawa kenaikan selanjutnya mungkin menyusul.

Anggaran Waktu Membaca:
Saham global susut selepas Rizab Persekutuan Amerika naikkan kadar faedah, beri isyarat kenaikan lanjut

Para pedagang di Bursa Saham New York (NYSE) di New York City, Amerika Syarikat pada 16 September 2026. (Gambar: Reuters/Jeenah Moon)

Diterbitkan : 17 Sep 2026 09:36AM
NEW YORK: Pasaran saham global merosot pada Rabu (16 Sep) selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menaikkan kadar faedah dan memberi isyarat bahawa kenaikan selanjutnya mungkin menyusul.

Fed menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada antara 3.75 peratus dengan 4.00 peratus, kenaikan pertama sejak 2023.

Langkah itu bertujuan menangani inflasi yang antara lain didorong oleh harga minyak yang lebih tinggi.

Para pegawai Fed menjangkakan satu lagi kenaikan kadar faedah tahun ini sebelum kadar dikekalkan pada 2027.

Di Wall Street, indeks-indeks utama yang mencatatkan kenaikan pada awal dagangan ditutup lebih rendah.

Dow Jones Industrial Average turun 1.21 peratus, S&P 500 turun 0.45 peratus manakala Nasdaq Composite susut 0.01 peratus.

Indeks saham global MSCI pula turun 0.16 peratus dan berada di landasan mencatatkan kemerosotan bagi sesi ketiga berturut-turut.

Pasaran saham Eropah ditutup sebelum keputusan Fed diumumkan.

Indeks STOXX 600 naik 0.46 peratus manakala FTSE 100 Britain meningkat 0.28 peratus. Pasaran utama di Jerman, Perancis dan Sepanyol turut mencatatkan kenaikan.

HASIL BON, DOLAR AMERIKA MENINGKAT

Hasil bon pemerintah Amerika meningkat selepas keputusan Fed.

Hasil bon Perbendaharaan Amerika dua tahun, yang lazimnya bergerak seiring dengan jangkaan kadar faedah Fed, meningkat 7.5 mata asas kepada 4.738 peratus.

Hasil bon Perbendaharaan Amerika 10 tahun pula meningkat kepada 5 peratus.

Dolar Amerika turut mengukuh berbanding mata wang utama termasuk euro dan yen Jepun.

Euro susut 0.68 peratus kepada AS$1.1464 (S$1.47).

Yen Jepun pula melemah 0.77 peratus, dengan AS$1 (S$1.28) bersamaan 156.31 yen.

Indeks dolar, yang mengukur nilai mata wang Amerika berbanding sekumpulan mata wang utama, meningkat 0.63 peratus kepada 100.31.

Harga emas spot (spot gold) pula susut 0.69 peratus kepada AS$4,263.19 (S$5,448.78) seauns.

HARGA MINYAK SUSUT

Harga minyak turut turun selepas laporan bahawa Arab Saudi menawarkan bekalan minyak mentah tambahan menerusi Oman menyusuli serangan dron yang menjejas saluran paip minyak negara itu ke Laut Merah.

Langkah tersebut meredakan sebahagian kebimbangan mengenai gangguan bekalan minyak dari Timur Tengah.

Namun, laluan kapal menerusi Selat Hormuz kekal terjejas sedang serangan di rantau itu semakin meningkat.

Niaga hadapan minyak mentah Brent turun 2.69 peratus dan ditutup pada AS$105.83 (S$135.26) setong.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita