Skip to main content

Dunia

Sah! Trump batalkan sidang AS-Korea Utara di S'pura

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump hari ini (24 Mei) membatalkan sidang puncak yang dirancangkan antara negaranya dengan Korea Utara yang dijadual diadakan di Singapura 12 Jun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 May 2018 11:38PM Dikemas Kini : 25 May 2018 09:43PM

SINGAPURA: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump hari ini (24 Mei) membatalkan sidang puncak yang dirancangkan antara negaranya dengan Korea Utara yang dijadual diadakan di Singapura 12 Jun ini.

Dalam surat yang ditujukan kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dan dimuat naik ke laman Rumah Putih, Presiden Trump menulis bahawa beliau membatalkan sidang puncak itu disebabkan 'kemarahan luar biasa dan permusuhan terang-terangan' yang ditunjukkan Encik Kim.

Surat itu bagi menjelaskan keputusan mendadak Presiden Trump.

"Kami dimaklumkan bahawa sidang itu diminta untuk diadakan oleh Korea Utara tetapi itu tidak relevan bagi kami," kata Presiden Trump. "Saya sebetulnya mengalu-alukan pertemuan dengan anda."

"Malangnya, berdasarkan kemarahan yang luar biasa dan permusuhan terbuka yang ditunjukkan dalam kenyataan terbaru anda, saya rasa tidak sesuai, pada masa ini, untuk menganjurkan mesyuarat yang kian lama dirancang."

"Oleh itu, biarlah surat ini menandakan bahawa sidang di Singapura itu, demi kebaikan kedua-dua pihak, namun tidak membawa kebaikan kepada dunia, tidak akan diadakan," tulis beliau.

Presiden Trump selanjutnya menekankan tentang keupayaan senjata nuklear Amerika Syarikat, sambil berkata kepada pemimpin Korea Utara itu: "Anda bercakap tentang keupayaan nuklear anda, tetapi keupayaan nuklear kami lebih besar dan lebih kuat. Saya berdoa kami tidak perlu menggunakannya."

Presiden Trump juga mengucapkan terima kasih kepada Encik Kim kerana membebaskan bekas banduan Amerika Syarikan yang sudah mendarat di pangkalan tentera berdekatan Washington awal bulan ini.

Beliau menambah bahawa sekiranya Encik Kim "bertukar fikiran berhubung sidang penting" itu, pemimpin Korea Utara itu "tidak perlu ragu-ragu" untuk menelefon atau menulis kepadanya.

"Dunia ini dan Korea Utara khususnya, terlepas peluang baik untuk mencapai perdamaian yang berkekalan selain kemewahan dan kemakmuran."  

Sumber : CNA/Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita