Skip to main content

Dunia

Sadiq Khan dipilih semula sebagai Datuk Bandar London

Ahli politik Parti Buruh Sadiq Khan sekali lagi memenangi pilihan raya datuk bandar London pada Sabtu (8 Mei) dengan jumlah undi yang lebih tipis daripada yang dijangkakan. Beliau mengalahkan pesaingnya dari Parti Konservatif Shaun Bailey.

Anggaran Waktu Membaca:
Sadiq Khan dipilih semula sebagai Datuk Bandar London

Encik Sadiq Khan datuk bandar Muslim pertama bagi sesebuah ibu kota negara Barat sejak 2016. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 09 May 2021 11:52AM Dikemas Kini : 09 May 2021 11:53AM

LONDON: Ahli politik Parti Buruh Sadiq Khan sekali lagi memenangi pilihan raya datuk bandar London pada Sabtu (8 Mei) dengan jumlah undi yang lebih tipis daripada yang dijangkakan. Beliau mengalahkan pesaingnya dari Parti Konservatif Shaun Bailey.

Encik Khan menjadi datuk bandar Muslim yang pertama bagi sesebuah ibu kota negara Barat semasa beliau pertama kali dipilih untuk menyandang jawatan tersebut pada 2016.

Beliau memenangi penggal kedua dengan hanya lebih 1.2 juta undi setelah meraih 977,601 undi. Jumlah penduduk yang keluar mengundi kali ini adalah lebih rendah berbanding pilihan raya lalu, iaitu hanya 42 peratus pengundi.

Kemenangan ahli politik berusia 50 tahun itu adalah antara pencapaian Parti Buruh selepas mempamerkan prestasi yang hambar dalam pilihan raya tempatan yang diadakan pada Khamis lalu.

Dalam ucapan bagi meraikan kemenangannya, Encik Khan berkata, beliau akan memberi tumpuan kepada usaha "membina jambatan antara masyarakat yang berbeza" dan antara dewan bandar dengan kerajaan.

Menurutnya lagi, beliau mahu "memastikan London boleh memainkan peranannya dalam pemulihan negara" di samping "membina masa depan yang lebih mesra alam serta adil dan saksama" untuk ibu negara itu.

Kempen Encik Khan menjanjikan "pekerjaan, pekerjaan, pekerjaan", dengan ikrar untuk memastikan London akan mengekalkan kedudukannya sebagai bandar terbaik dunia sambil menangani krisis dan kemerosotan ekonomi akibat Brexit, yang mungkin akan mengancam sektor kewangan bagi ibu negara itu.

Encik Khan adalah antara pengkritik paling lantang terhadap Brexit dan peralihan pucuk kepimpinan Parti Konservatif, termasuk datuk bandar London yang lalu iaitu Boris Johnson - selain pertelingkahan dengan mantan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita