Skip to main content

Dunia

Sabah lantik 3 Timbalan Ketua Menteri baharu

Tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah baharu selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di Kota Kinabalu, pada Isnin (1 Dis), lapor Astro Awani.
Anggaran Waktu Membaca:
Sabah lantik 3 Timbalan Ketua Menteri baharu
Encik Hajiji Noor kembali menerajui pentadbiran negeri Sabah selepas mengangkat sumpah secara rasmi sebagai Ketua Menteri, bagi penggal kedua, pada 30 November 2025. (Gambar: Bernama)

KOTA KINABALU: Tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah baharu selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di Kota Kinabalu, pada Isnin (1 Dis), lapor Astro Awani.

Pelantikan mereka bagi menganggotai Kabinet Kerajaan Negeri yang baharu, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, yang lalu.

Mereka ialah Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Joachim Gunsalam, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Masidi Manjun dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Ewon Benedick.

Pengesahan tersebut dibuat oleh Encik Joachim, yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor dalam sidang media di Kediaman Rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, pada petang Isnin.

"Pada semua menteri yang baharu dilantik saya ucapkan tahniah atas pelantikan anda. Tanggungjawab ini besar maknanya dan saya berharap agar anda memikul amanah ini dengan dedikasi yang tidak berbelah bahagi, berkhidmat kepada rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang dan laksanakan tugas dengan penuh integriti," kata beliau dalam sidang media berkenaan, seperti yang dipetik Astro Awani.

Terdahulu, Majlis Angkat Sumpah Ahli Jemaah Menteri Baharu Sabah turut dihadiri Encik Hajiji yang juga Pengerusi GRS, dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Azizah Nawawi.

Berikut adalah senarai penuh kabinet baharu Sabah:

  • Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Dr Joachim Gunsalam
  • Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Masidi Manjun
  • Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Ewon Benedick
  • Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Arifin Arif
  • Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Jamawi Jaafar
  • Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rubin Balang
  • Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, James Ratib
  • Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Jafry Ariffin
  • Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Julita Mojungki
  • Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Nizam Titingan

Kerajaan GRS pimpinan Encik Hajiji melepasi majoriti mudah membentuk kerajaan negeri dengan komposisi semasa melibatkan GRS sebanyak 29 kerusi, Bebas (5), UPKO (3), Pakatan Harapan (PH) (1), Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) (1) dan Barisan Nasional (BN) sebanyak enam kerusi, lapor Astro Awani.

Pada awal pagi Ahad, Encik Hajiji kembali menerajui pentadbiran negeri Sabah selepas mengangkat sumpah secara rasmi sebagai Ketua Menteri, bagi penggal kedua.

Encik Hajiji, 70 tahun, mengangkat sumpah di hadapan Tun Musa, dalam istiadat di Istana Seri Kinabalu, pada pukul 3.00 pagi.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita