Sabah gantung buat sementara waktu semua penerbangan dari China
Kerajaan Negeri Sabah mengambil keputusan untuk menggantung sementara semua penerbangan berjadual dan ditempah khas dari China ke Sabah berkuat kuasa serta merta sehingga diberitahu kelak.

(Gambar: Unsplash/Ross Parmly)
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mengambil keputusan untuk menggantung sementara semua penerbangan berjadual dan ditempah khas dari China ke Sabah berkuat kuasa serta merta sehingga diberitahu kelak.
Timbalan Ketua Menteri, Christina Liew berkata keputusan yang diambil semasa mesyuarat kabinet semalam adalah bagi menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat di negeri ini.
Beliau menekankan keputusan ini adalah hanya penggantungan sementara dan operasi perniagaan dijangka kembali seperti biasa apabila keadaan kembali normal.
“Walaupun penggantungan ini akan memberi kesan kepada industri pelancongan negeri, kerajaan memandang serius kesihatan dan kebajikan warga Sabah, dan kami mahu menghindari risiko mendedahkan rakyat kepada mana-mana individu yang mungkin merupakan pembawa virus korona baru.
Penggantungan penerbangan ini merupakan satu keputusan yang amat sukar dan mungkin tidak dapat diterima dengan baik oleh peserta industri pelancongan,” kata Cik Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Cik Liew berkata kerajaan negeri perlu memastikan kebajikan rakyat tidak terjejas, memandangkan ketidaktentuan dalam perkembangan virus korona Wuhan.
Menurut beliau, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri akan memaklumkan kepada semua syarikat penerbangan mengendalikan laluan dari China ke Kota Kinabalu mengenai keputusan kerajaan itu.
“Ini bermakna semua penerbangan dari China akan dihentikan sementara dan tiada kemasukan untuk semua pelancong dari bandar raya-bandara raya China sepanjang tempoh penggantungan itu,” katanya.
Cik Liew berkata China tidak membenarkan rakyatnya dari bandar Wuhan, Xi’an, Beijing, Tianjin dan Guangzhou daripada melancong ke luar negara.
Sementara itu, beliau memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kerajaan negeri memantau dengan rapi keadaan itu.
“Kerajaan sentiasa menerima perkembangan terkini daripada Jabatan Kesihatan negeri. Sementara itu tiada lagi kes dikenal pasti di Sabah, kita semua perlu berwaspada dan mengamalkan penjagaan kebersihan kendiri yang baik.
Pada masa sama, kita perlu mendapatkan maklumat terkini yang benar daripada sumber yang boleh dipercayai dan tolong jangan sebarkan berita palsu atau yang belum disahkan,” kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.