Skip to main content

Dunia

S'pura, M'sia bangunkan prosedur baru berdasarkan GPS bagi gantikan ILS

Pihak berkuasa penerbangan dari Singapura dan Malaysia akan bekerjasama untuk membangunkan prosedur pendekatan alatan berdasarkan GPS bagi Lapangan Terbang Seletar

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Apr 2019 06:07PM Dikemas Kini : 08 Apr 2019 11:31PM

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa penerbangan dari Singapura dan Malaysia akan bekerjasama untuk membangunkan prosedur pendekatan alatan berdasarkan GPS bagi Lapangan Terbang Seletar. Prosedur baru itu akan menggantikan prosedur Sistem Pendaratan Alatan (ILS) yang ditarik balik hujung minggu lalu.

Demikian menurut menteri pengangkutan kedua-dua negara hari ini (8 Apr).

Bercakap di satu sidang media bersama yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan menegaskan bahawa prosedur-prosedur baru itu akan memastikan keselamatan penerbangan yang berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang Seletar terus terpelihara.

"Kami akan memperkenalkan pendekatan alatan berdasarkan GPS dari bahagian utara Pasir Gudang dan selatan Singapura," kata Encik Khaw.

"Ini kerana pesawat-pesawat berlepas dan mendarat bertentangan dengan arah angin. Dengan arah angin timur laut dan barat daya pada masa berlainan dalam tahun yang sama, kedua-dua pendekatan itu diperlukan," tambah beliau.

Pengumuman tersebut dibuat setelah kedua-dua negara mengumumkan pada Sabtu lalu bahawa Singapura sudah menarik balik prosedur ILS bagi Lapangan Terbang Seletar manakala Malaysia pula menggantung kawasan larangan tetapnya ke atas Pasir Gudang buat tempoh yang tidak ditetapkan.

"Langkah ini akan meningkatkan keselamatan penerbangan dan pesawat yang menggunakan Lapangan Terbang Seletar," menurut Encik Khaw.

Pada Disember tahun lalu, Malaysia menyatakan ia mahu menuntut kembali "ruang udara yang diwakilkan" di selatan Johor sambil meluahkan keprihatinan terhadap kedaulatan dan kepentingan negara itu.

Malaysia juga menyuarakan keprihatinan terhadap prosedur ILS bagi Lapangan Terbang Seletar dengan menyatakan laluan penerbangan akan menimbulkan kesan ke atas pembangunan serta operasi perkapalan di Pasir Gudang, Johor.

Prosedur ILS merujuk kepada kemudahan untuk mengemudikan penerbangan yang dibantu oleh lapangan terbang yang menyediakan panduan kepada para juruterbang semasa pesawat sedang mendarat dan menghampiri landasan kapal terbang.

Ia turut memudahkan pesawat dari segi ketepatan dan kelancarannya semasa melakukan pendaratan.

Bagaimanapun, Singapura sebelum ini ada menyatakan bahawa ILS setakat mencarta laluan penerbangan sedia ada sekali gus menjadikan peraturan penerbangan lebih jelas dan telus.

Kementerian Pengangkutan Singapura (MOT) juga menyatakan prosedur ILS tidak mengenakan sebarang kesan tambahan terhadap para pengguna ruang udara serta para perniagaan dan penduduk di Johor.

SINGAPURA AKAN MELAKUKAN SEMAKAN RUANG UDARA DENGAN "MINDA YANG TERBUKA"

Di sidang media hari ini juga, menteri-menteri pengangkutan berkata sebuah "jawatankuasa peringkat tinggi" yang dipengerusikan bersama oleh kedua-dua Setiausaha Tetap Pengangkutan Singapura dan Ketua Setiausaha Malaysia sudahpun ditubuhkan bagi menyemak semula aturan ruang udara sedia ada di mana peruntukan perkhidmatan trafik udara di selatan Semenanjung Malaysia diwakilkan kepada Singapura.

Encik Khaw turut menarik perhatian, Malaysia juga sudah menyatakan hasratnya untuk mengambil alih khidmat trafik udara di kawasanberkenaan.

"Saya menjelaskan kepada Menteri Loke bahawa aturan buat masa ini diuruskan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di Mesyuarat Navigasi Udara Serantau 1973. Ia dipersetujui oleh Negara-Negara di rantau ini dan diluluskan oleh Majlis ICAO, " kata Encik Khaw.

"Menteri Loke menegaskan semakan itu penting bagi Malaysia. Saya memberi jaminan kepadanya Singapura akan mendampingi semakan itu dengan minda terbuka, mengambil kira banyak pihak berkepentingan yang terlibat serta keperluan kritikal untuk menjaga keselamatan dan kecekapan di ruang udara yang sibuk." kata beliau lagi.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita