Skip to main content

Dunia

S'pura, China meterai 9 perjanjian di Majlis Bersama Kerjasama Dua Hala

Singapura dan China memeterai sembilan perjanjian di akhir mesyuarat Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) di Chongqing. 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 15 Oct 2019 05:18PM Dikemas Kini : 15 Oct 2019 09:23PM

CHONGQING: Singapura dan China memeterai sembilan perjanjian di akhir mesyuarat Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) di Chongqing.

Ini meliputi kerjasama dalam pelepasan kastam, pengurusan harta intelektual dan pembangunan Bandar Bijak.

Mesyuarat itu adalah platform tertinggi kerjasama dua hala.

Banyak sejarah terukir di Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala ke-15 atau JCBC.

Ini kali pertama Timbalan Perdana Menteri Singapura Heng Swee Keat bersama mempengerusikan mesyuarat itu.

Mesyuarat JCBC lazimnya bergilir-gilir diadakan di Singapura atau Beijing tetapi kali ini, ia julung-julung kalinya diadakan di Chongqing.

Ramai pemegang jawatan politik juga hadir.

Encik Heng didampingi para pemimpin generasi keempat Singapura, termasuk enam menteri.

Berucap di pembukaan mesyuarat JCBC, Encik Heng berkata kerjasama antara Singapura dengan China perlu menunjukkan kemajuan mengikut peredaran masa, sedang kedua-dua negara memulakan fasa baru pembangunan.

"Agenda menyeluruh JCBC mencerminkan wawasan kerjasama kita. Tahun ini, kita mempunyai agenda sampingan untuk kerjasama Bandar Bijak, yang akan menyaksikan pelaksanaan Inisiatif Bandar Bijak bagi Shenzhen, di megalopolis Greater Bay Area. Kita juga mempunyai agenda tambahan bagi kerjasama pasaran modal," menurut Encik Heng.

Beliau menambah Singapura dan China juga boleh berganding bahu menghuraikan cabaran-cabaran serupa yang dihadapi, seperti soal perlindungan sekitaran, bekalan makanan dan masyarakat menua.

Dalam pada itu, Naib Perdana Menteri China Han Zheng, yang turut mempengerusikan mesyuarat itu, berkata JCBC tahun ini penting kerana ia akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada negara-negara seperti Singapura kerana menyokong China selama ini.

Singapura dan China akan meraikan 30 tahun hubungan diplomatik tahun depan.

Di mesyuarat itu, kedua-dua pemimpin juga membincangkan tentang fasa baru pembangunan bagi tiga projek antara Pemerintah di Suzho, Tianjin dan Chongqing.  

Sumber : CNA/AQ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita