Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rusuhan tercetus di Sweden susuli pembakaran Al-Quran oleh pemimpin anti Islam

Anggaran Waktu Membaca:
Rusuhan tercetus di Sweden susuli pembakaran Al-Quran oleh pemimpin anti Islam

(Gambar: Stefan Jerrevang/TT News Agency/AFP)

STOCKHOLM: Ahli politik Denmark-Sweden yang juga pemimpin kumpulan antipendatang dan anti Islam Hard Line, Rasmus Paludan mula mendapat perhatian umum pada 2017 apabila dia mula membuat video YouTube anti Muslim, lapor Astro AWANI. 

Encik Paludan mewajarkan aksinya di Denmark - seperti membakar kitab suci umat Islam, adakalanya dibungkus dengan daging - kononnya sebagai penghormatan kepada hak kebebasan bersuara.

Kali ini pula, nama Encik Paludan disebut dan dikaitkan lagi dengan insiden membakar naskhah Al-Quran yang berlaku di Sweden. 

Rusuhan tercetus antara pihak polis dengan masyarakat yang marah dengan tindakan Encik Paludan dan rancangannya untuk membakar lebih banyak naskhah Al-Quran, menurut BBC. 

Rusuhan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 40 orang cedera sedang polis berusaha mendapatkan lebih banyak tenaga untuk menangani keganasan itu.

Kerja keji dan terkutuk membakar Al-Quran itu dilakukan bertujuan untuk meningkatkan sokongan menjelang pilihan raya Denmark pada bulan September.

Encik Paludan yang mengisytiharkan 'lawatan' ke Sweden juga merancang untuk melawat bandar dan pekan dengan penduduk Islam yang besar dengan niat membakar naskhah al-Quran semasa bulan suci Ramadan.

Rusuhan ganas meletus di bandar Orebro tengah Sweden pada Jumaat (15 Apr) ketika penunjuk perasaan bertindak balas menyerang polis sebelum satu demonstrasi.

Polis berkata empat kereta polis dibakar dan sekurang-kurangnya empat pegawai dan seorang orang awam cedera. Menurut laporan Astro AWANI, penunjuk perasaan turut membaling batu, menyerbu kedudukan polis dan merobohkan penghadang.

Media tempatan juga melaporkan pertempuran di pinggir bandar Stockholm di Rinkeby selepas Encik Paludan membakar naskhah al-Quran pada hari Jumaat (15 Apr).

Pada Ahad (17 Apr), polis berkata sekurang-kurangnya 34 orang ditangkap di Linkoping dan Norrkoping selepas kira-kira 150 penunjuk perasaan membaling batu ke arah pegawai dan membakar kenderaan.

Anders Thornberg, Ketua Polis Sweden, berkata dia tidak pernah melihat rusuhan ganas seperti itu.

Pergolakan di Norrkoping berlaku selepas Encik Paludan berkata beliau merancang untuk mengadakan perhimpunan di sana tetapi tidak pernah muncul. Tiga orang dilaporkan cedera akibat tembakan dan polis di Norrkoping berkata pegawainya "melepaskan beberapa tembakan amaran" selepas diserang.

“Tiga orang cedera dan kini dirawat di hospital,” kata polis dalam satu kenyataan.

"Ketiga-tiga yang cedera telah ditahan kerana disyaki melakukan perbuatan jenayah."

Encik Paludan pernah dijatuhi hukuman penjara 14 hari pada 2019 kerana ucapan perkauman di Denmark, menurut Astro AWANI. 

Setahun kemudian, dia berdepan hukuman sebulan penjara selepas didapati bersalah atas 14 tuduhan berbeza berkaitan perkauman, fitnah dan pemanduan berbahaya.

Hard Line, atau Stram Kurs dalam bahasa Sweden, gagal memenangi satu kerusi pun dalam pilihan raya kebangsaan Denmark yang lalu pada 2019.

Kini Encik Paludan merancang untuk bertanding semula pada undian Jun 2023, tetapi dia dilaporkan tidak mempunyai bilangan tandatangan yang diperlukan untuk mendapatkannya pencalonan.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan