Rusuhan Indonesia: Kerugian dianggar AS$54.8 juta, 7 pegawai digesa didakwa atas kematian pekerja Grab
Komisi Kepolisian Nasional (Kompolnas) menyarankan tuduhan jenayah dan sekatan etika terhadap tujuh pegawai Korps Brigade Mobil (Brimob) yang terlibat dalam kematian pekerja penghantaran Affan Kurniawan pada minggu lalu.
Para penunjuk perasaan mendesak pembaharuan di luar bangunan parlimen Indonesia di Jakarta, Indonesia pada 3 Sep 2025. (Gambar: Reuters/Willy Kurniawan)
Affan, 21 tahun, dilanggar oleh sebuah kenderaan taktikal Brimob pada 28 Ogos lalu ketika beliau sedang menghantar pesanan di tengah-tengah tunjuk perasaan yang ganas di pusat Jakarta.
Beliau tidak menyertai tunjuk perasaan itu.
Tunjuk perasaan itu meletus di seluruh Indonesia sejak 25 Ogos sedang para penduduk membantah kenaikan elaun Anggota Parlimen dan mendesak langkah-langkah pembaharuan lain.
Langkah yang diambil oleh Kompolnas, iaitu sebuah badan pemantau polis bebas, memberi isyarat mengenai tekanan yang meningkat terhadap Polis Negara bagi mendapatkan kebertanggungjawaban di luar tindakan disiplin dalaman.
Komisioner Kompolnas Mohammad Choirul Anam berkata pada Selasa (2 Sep) para pegawai tidak seharusnya hanya menjalani perbicaraan etika dalaman, yang boleh membawa kepada pemecatan, tetapi juga disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah.
"Dua skema ini berjalan beriringan, tidak saling menunggu. Potensi etika bisa sampai pemecatan, sementara potensi pidana akan diproses Bareskrim Polri," kata Anam, seperti dinukil Metro TV selepas menyelia semakan dalaman di ibu pejabat polis.
Dwi landasan etika dan kebertanggungjawaban jenayah harus bertindak sebagai amaran keras kepada para pegawai supaya bertindak lebih berhati-hati di lapangan, menurut Kompolnas.
"Penguatkuasaan undang-undang harus dilaksanakan secara profesional, telus dan adil, sejajar dengan jangkaan awam supaya kes-kes sedemikian tidak berulang," kata Anam.
Sesi semakan pintu tertutup yang diadakan oleh Divisi Profesi dan Pengamanan Kepolisian Negara Republik Indonesia dari pukul 9.30 pagi hingga 1.00 tengah hari tadi, berakhir dengan kesimpulan bahawa tindakan pegawai itu mengandungi elemen kesalahan jenayah.
Mereka yang akan dibicarakan termasuk Ketua Brigadier Rohmat, pemandu kenderaan taktikal, Komisioner Polis Comas Kaju, unit komander yang duduk bersebelahan dengannya, serta lima lagi anggota yang duduk di tempat belakang kenderaan itu.
Cosmas dijadual menghadiri perbicaraan etika pada Rabu manakala Rohmat akan menjalani sesinya pada Khamis.
Kesemua tujuh pegawai itu diletakkan di bawah tahanan khas selama 20 hari pada 29 Ogos.
KEMATIAN, KEROSAKAN DAN PENANGKAPAN
Rusuhan di Indonesia itu mengorbankan 10 individu dan menyebabkan lebih 1,680 ditangkap, menurut Komisi Nasional Hak Asasi Manusia pada Selasa.
Sekurang-kurangnya 20 orang masih hilang susuli rusuhan itu, menurut Komisi untuk Orang Hilang & Korban Tindak Kekerasan (KontraS).
Rusuhan itu juga menyebabkan kerugian hampir 900 bilion rupiah (S$70 juta), menurut Menteri Pekerjaan Umum Dody Hanggodo pada Selasa.
Ini termasuk kerosakan terhadap infrastruktur seperti bangunan Dewan Perwakilan Rakyat, pintu tol dan perhentian bas.
Encik Dody berkata wilayah Jawa Timur dan Makassar di Sulawesi Selatan mengalami kerosakan paling teruk.
Encik Dody menambah pihak kementeriannya sudah menyediakan peruntukan darurat bagi menyokong kerja-kerja pembaikan infrastruktur yang rosak dalam rusuhan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.