Skip to main content

Dunia

Rusia, Ukraine tukar lagi tawanan perang di bawah perjanjian baharu

Anggaran Waktu Membaca:
Rusia, Ukraine tukar lagi tawanan perang di bawah perjanjian baharu

Seorang tawanan perang yang terlibat dalam pertukaran tawanan di sebuah lokasi yang tidak dinamakan di Ukraine. (Gambar: Handout / COORDINATION HEADQUARTERS FOR THE TREATMENT OF PRISONERS OF WAR / AFP)

Diterbitkan : 05 Jul 2025 09:38AM Dikemas Kini : 05 Jul 2025 09:42AM
MOSKO: Mosko dan Kyiv melaksanakan satu lagi pertukaran tawanan perang di bawah perjanjian yang dimeterai di Istanbul pada 2 Jun, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Kementerian Pertahanan Rusia pada Jumaat (4 Jul).

“Pada 4 Julai, selaras dengan perjanjian Rusia-Ukraine yang dicapai pada 2 Jun di Istanbul, satu lagi kumpulan anggota tentera Rusia dibawa pulang dari wilayah yang dikawal pihak berkuasa Ukraine,” menurut kenyataan kementerian itu.

Kementerian tersebut turut memaklumkan bahawa anggota tentera Rusia yang dibawa pulang kini menerima rawatan perubatan dan bantuan psikologi di Belarus, namun tidak menyatakan jumlah individu yang terlibat dalam pertukaran itu.

Mereka kemudian akan dipindahkan ke institusi perubatan di Rusia untuk rawatan lanjut dan program pemulihan, katanya lagi.

Dalam kenyataan berasingan, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mengesahkan pertukaran itu menerusi saluran Telegram beliau.

“Pertukaran perlu diteruskan, dan saya berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha ini,” katanya.

Perkembangan terbaharu itu diumumkan menyusuli perjanjian yang dicapai di Istanbul pada 2 Jun yang menetapkan syarat untuk pertukaran tahanan tambahan serta pembebasan ribuan anggota tentera daripada kedua-dua pihak.

Pusingan pertama perbincangan secara langsung antara Mosko dan Kyiv diadakan pada Mei lalu, menandakan langkah diplomatik pertama selepas konflik selama hampir tiga tahun.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita