Skip to main content

Dunia

Rusia, Ukraine tukar kumpulan pertama tawanan perang dalam pertukaran berskala besar

Anggaran Waktu Membaca:
Rusia, Ukraine tukar kumpulan pertama tawanan perang dalam pertukaran berskala besar

Petikan gambar (kiri) yang dikeluarkan pada 9 Jun 2025, menunjukkan tawanan perang Rusia bertindak balas di dalam bas dan tawanan perang Ukraine yang mengenakan bendera Ukraine, selepas pertukaran tawanan antara kedua-dua negara itu. (Gambar: Kementerian Pertahanan Rusia dan Perkhidmatan Akhbar Presiden Ukraine menerusi AFP)

KYIV: Rusia dan Ukraine pada Isnin (9 Jun) bertukar kumpulan pertama tentera yang ditangkap. Ini sebahagian daripada perjanjian yang dicapai semasa rundingan damai yang pada hujung minggu lalu diragui.

Perjanjian untuk bertukar tawanan perang dan menghantar pulang mayat pejuang yang terkorban adalah satu-satunya perjanjian konkrit yang dicapai dalam rundingan itu, yang gagal membawa kepada kejayaan ke arah menamatkan perang tiga tahun itu.

Kemajuan sudah terhenti. Rusia mengeluarkan syarat yang ketat untuk menghentikan pencerobohannya dan berulang kali menolak seruan bagi gencatan senjata tanpa syarat.

"Hari ini pertukaran sudah bermula, yang akan berterusan dalam beberapa peringkat sepanjang beberapa hari akan datang," kata Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy di media sosial.

Beliau memuat naik gambar tentera yang diselubungi bendera Ukraine, bersorak dan berpelukan.

"Di antara mereka yang kami bawa pulang sekarang adalah yang cedera, yang cedera parah, dan mereka yang berumur di bawah 25 tahun," tambahnya.

Kementerian pertahanan Rusia juga mengesahkan pertukaran itu adalah sebahagian daripada "perjanjian yang dicapai pada 2 Jun di Istanbul".

Kedua-dua pihak tidak menyatakan berapa ramai tahanan yang dibebaskan.
Dalam petikan gambar dari video ini yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Rusia pada 9 Jun 2025, tawanan perang Rusia menaiki bas berikutan pertukaran di lokasi yang tidak didedahkan di Belarus. (Gambar: Kementerian Pertahanan Rusia menerusi AFP)
Dalam gambar ini yang diambil dan dikeluarkan oleh Perkhidmatan Akhbar Presiden Ukraine pada 9 Jun 2025, tawanan perang Ukraine yang mengenakan bendera Ukraine memeluk antara satu sama lain menyusuli pertukaran di lokasi yang tidak didedahkan. (Gambar: Perkhidmatan Akhbar Presiden Ukraine menerusi AFP)
Selepas rundingan di Istanbul, kedua-duanya menyatakan ia akan melibatkan lebih 1,000 tentera yang ditangkap, menjadikannya pertukaran terbesar dalam perang tiga tahun itu.

Pertukaran itu sendiri kelihatan terancam pada hujung minggu, apabila Moscow dan Kyiv saling menuduh melambatkan dan menggagalkan pertukaran yang dirancang.

Pada Ahad, Encik Zelenskyy menuduh Rusia memainkan "permainan politik kotor" dan tidak mematuhi syarat-syarat yang dipersetujui - untuk membebaskan semua tentera yang ditangkap yang sakit, cedera atau di bawah umur 25 tahun.

Rusia menyatakan Kyiv enggan mengambil balik mayat tentera yang terkorban, 1,200 daripadanya dikatakan sedang menunggu dalam lori sejuk beku berhampiran sempadan.

RUNDINGAN "SIA-SIA"

Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada tahun 2022 mencetuskan konflik Eropah terbesar sejak Perang Dunia II, memaksa berjuta-juta orang meninggalkan rumah mereka dan memusnahkan sebahagian besar timur dan selatan Ukraine.

Didorong oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menamatkan konflik, kedua-dua pihak mengadakan rundingan langsung buat kali pertama dalam lebih tiga tahun dalam mencari persetujuan.

Tetapi mereka kelihatan terlalu jauh untuk mencapai persetujuan.

Di Istanbul pada 2 Jun, Rusia menuntut Ukraine menarik tenteranya dari kawasan yang masih di bawah kawalannya, mengiktiraf penguasaan Moscow ke atas lima wilayah Ukraine dan menolak semua sokongan ketenteraan Barat.

Kyiv mahukan gencatan senjata penuh dan sidang puncak antara Encik Zelenskyy, Presiden Rusia Vladimir Putin dan Encik Trump untuk cuba memecah kebuntuan.

Walaupun mengalu-alukan pertukaran tawanan perang, Encik Zelenskyy berkata minggu lalu adalah "sia-sia" untuk mengadakan rundingan lanjut dengan delegasi Rusia sedia ada, yang sebelum ini beliau anggap sebagai "tidak berwibawa", kerana mereka tidak dapat bersetuju dengan gencatan senjata.

Sementara itu, pertempuran di barisan hadapan dan di ruang udara sudah meningkat.

Rusia menyatakan pada Ahad bahawa tenteranya sudah menyeberang masuk ke wilayah perindustrian Dnipropetrovsk Ukraine buat kali pertama dalam kempennya, satu kemajuan penting memandangkan Moscow belum mengemukakan tuntutan wilayah ke wilayah itu.

Moscow melancarkan rekod 479 dron ke Ukraine semalaman, menurut tentera udara Kyiv pada Isnin.
Datuk Bandar Ukraine di bandar barat Rivne, Oleksandr Tretyak, menyifatkannya sebagai "serangan terbesar" ke atas wilayah itu sejak permulaan perang.

Rusia menyatakan pihaknya menyasarkan lapangan terbang berhampiran perkampungan Dubno di wilayah Rivne.

Ia menyifatkan serangan itu sebagai "salah satu serangan balas" bagi serangan dron berani oleh Ukraine pada 1 Jun terhadap jet tentera Rusia yang ditempatkan di pangkalan udara beribu-ribu kilometer di belakang barisan hadapan.

Kyiv juga mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan ke atas sebuah kilang elektronik Rusia semalaman, mengatakan ia mengeluarkan bahagian untuk dron.

Pegawai Rusia berkata tapak itu terpaksa menggantung sementara pengeluaran selepas serangan dron Ukraine.
Sumber : AFP/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita