Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rusia, Ukraine saling tuding jari; saluran tenaga loji nuklear dibedil

Sebuah talian tenaga voltan tinggi dibedil meriam pada Jumaat (5 Ogos) di stesen janakuasa nuklear utama Ukraine yang ditawan oleh Rusia.

Anggaran Waktu Membaca:
Rusia, Ukraine saling tuding jari; saluran tenaga loji nuklear dibedil

Stesen Tenaga Nuklear Zaporizhzhia di tenggara Ukraine adalah loji tenaga nuklear terbesar di Eropah. (Gambar: Andrey BORODULIN/AFP)

Diterbitkan : 06 Aug 2022 10:09AM Dikemas Kini : 06 Aug 2022 10:09AM
KYIV: Sebuah talian tenaga voltan tinggi dibedil meriam pada Jumaat (5 Ogos) di stesen janakuasa nuklear utama Ukraine yang ditawan oleh Rusia.

Ini menggesa pengendali loji berkenaan untuk memutuskan sambungan sebuah reaktor sekalipun tiada kebocoran radioaktif dikesan, lapor Reuters.

Syarikat janakuasa nuklear Ukraine, Energoatom, menyalahkan Rusia atas kerosakan di stesen tenaga Zaporizhzhia iaitu yang terbesar di Eropah.

Awal minggu ini, badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merayu supaya mendapat akses ke loji tersebut, yang menurut Washington, ia sedang digunakan oleh Rusia sebagai perisai medan perang.

Kementerian Pertahanan Rusia pula menuduh tentera Ukraine atas bedilan meriam di loji tersebut, yang dirampas tentera Rusia pada awal Mac lalu semasa perang mula-mula tercetus antara kedua-dua negara.

Ia menyatakan kebocoran radiasi dapat dielakkan secara kebetulan saja.

Kenyataan kementerian itu menambah, akibatnya, kapasiti menjana kuasa di salah satu unit tersebut dikurangkan dan bekalan tenaga ke satu lagi unit terputus.

Selain itu, bandar Enerhodar yang terletak berdekatan mengalami masalah bekalan elektrik dan air.

Ini bukan kali pertama tindakan ketenteraan menyebabkan kecemasan di Zaporizhzhia, di mana Agensi Tenaga Atomik Antarabangsa PBB kadangkala melaporkan terputus hubungan dengan sistem pengawasan yang memantau bahan nuklear.

Pentadbiran Enerhodar, yang ditubuhkan oleh Rusia, menyatakan kebakaran meletus dan tenaga yang diperlukan bagi reaktor berfungsi dengan selamat sudahpun terputus. Loji itu terus dikendalikan oleh juruteknik Ukraine.

Energoatom menyatakan loji tersebut, terletak kira-kira 200 kilometer dari barat laut Mariupol di tenggara Ukraine - bandar yang dirampas Rusia - masih lagi beroperasi dan tiada kebocoran radioaktif dikesan.

Di bahagian timur Ukraine, kedua-dua pihak mendakwa telahpun mencapai sedikit kemajuan manakala meriam Rusia membedil bandar-bandar dan perkampungan di kawasan yang luas dalam taktik yang kini sudahpun biasa kepada para penduduk.

PAKEJ SENJATA AMERIKA

Pakej senjata yang akan diterima seterusnya oleh Ukraine dari Amerika Syarikat (AS) dijangka bernilai AS$1 bilion (S$1.3 bilion), iaitu antara yang terbesar sejauh ini, menurut tiga sumber yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu.

Jika ia ditandatangani mengikut perjanjian sekarang, pakej senjata api itu akan termasuk senjata jarak jauh dan kenderaan perubatan berperisai, tambah sumber-sumber tersebut.

Pakej itu dijangka diumumkan seawal Isnin (8 Ogos) dan akan menjadi tambahan kepada bantuan bernilai sekitar AS$8 bilion (S$11 bilion) yang sudahpun dihulurkan oleh AS kepada Ukraine sejak pencerobohan Rusia pada 24 Februari lalu.
 
Sumber : Reuters/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa