Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rusia, Ukraine lapor banyak korban jiwa di Donetsk

Anggaran Waktu Membaca:
Rusia, Ukraine lapor banyak korban jiwa di Donetsk

Kenderaan tentera membawa askar Ukraine menuju ke barisan hadapan berdekatan Bakhmut, wilayah Donetsk, pada 11 Mac 2023 di tengah-tengah pencerobohan Rusia di Ukraine. (Gambar: Sergey SHESTAK / AFP)

KYIV: Ukraine dan Rusia pada Ahad (12 Mac) melaporkan banyak korban jiwa di Donbas, Ukraine, yang merupakan tumpuan Mosko untuk mara ke wilayah jirannya itu.

Pertempuran yang berlaku di bahagian timur Ukraine berpusat di Bakhmut yang sebahagian besarnya punah-ranah menyusuli serangan dan bedilan berterusan Rusia buat berbulan-bulan lamanya.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy berkata lebih 1,100 askar Rusia terkorban dalam tempoh kurang seminggu berikutan pertempuran berhampiran bandar tersebut.

Menurut beliau, 1,500 askar Rusia juga cedera parah sehingga tidak boleh dikerahkan untuk meneruskan misi. Berpuluh-puluh peralatan perang Rusia musnah, begitu juga dengan lebih 10 depoh senjata seteru Ukraine itu.

Menurut Kementerian Pertahanan Rusia, pasukannya sedang menjalankan lebih banyak operasi tentera di wilayah Donetsk, yang bersama-sama wilayah Luhansk yang terletak bersebelahan, membentuk Donbas.

Kementerian itu menyatakan pasukan Rusia membunuh lebih 220 anggota perkhidmatan Ukraine dalam tempoh 24 jam lalu.

Sementara itu, Ukraine menyatakan pada Sabtu (11 Mac) bahawa lebih 500 askar Rusia sama ada sudah dibunuh atau cedera dalam tempoh 24 jam ketika mereka bertempur untuk menguasai Bakhmut.

Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan secara bebas kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak.

Pasukan Rusia dari kumpulan tentera upahan Wagner, yang dikendalikan secara persendirian, sudah menawan wilayah di bahagian timur bandar dan pinggir utara serta selatan tetapi setakat ini gagal mengepungnya.

Mosko menyatakan benteng pertahanan Ukraine akan goyah apabila ia menawan Bakhmut dan langkah itu juga selangkah lebih dekat untuk merampas seluruh wilayah perindustrian Donbas, yang menjadi sasaran utamanya.
Sumber : Reuters/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan