Skip to main content

Dunia

Rusia uji peluru berpandu, senjata nuklear sedang ketegangan dengan NATO meningkat

Rusia melancarkan peluru berpandu berkeupayaan nuklear dan memberikan senjata nuklear kepada beberapa unit tenteranya pada Khamis (21 Mei) sebagai sebahagian daripada latihan nuklear besar-besaran sedang ketegangan dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) memuncak menyusuli perang Ukraine dan kegiatan dron di rantau Baltik.

Anggaran Waktu Membaca:
Rusia uji peluru berpandu, senjata nuklear sedang ketegangan dengan NATO meningkat

Pelancar peluru berpandu Rusia jenis Iskander-M semasa latihan pasukan nuklear di sebuah lokasi yang tidak dikenal pasti di Rusia. (Gambar: REUTERS/Kementerian Pertahanan Rusia)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 22 May 2026 08:19AM
MOSKO: Rusia melancarkan peluru berpandu berkeupayaan nuklear dan memberikan senjata nuklear kepada beberapa unit tenteranya pada Khamis (21 Mei) sebagai sebahagian daripada latihan nuklear besar-besaran sedang ketegangan dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) memuncak menyusuli perang Ukraine dan kegiatan dron di rantau Baltik.

Rusia sedang menjalankan antara latihan nuklear terbesar dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, melibatkan 64,000 askar bagi melatih pasukannya dalam “persiapan dan penggunaan kuasa nuklear sekiranya berlaku pencerobohan”.

Presiden Rusia Vladimir Putin memberitahu Presiden Belarus Alexander Lukashenko, Menteri Pertahanan Rusia Andrei Belousov dan para jeneral kanan bahawa penggunaan senjata sedemikian sentiasa menjadi langkah luar biasa dan ikhtiar terakhir.

“Sedang ketegangan global meningkat, di samping ancaman dan risiko baharu yang muncul, senjata nuklear kami mesti terus menjadi jaminan kukuh bagi kedaulatan Rusia dan Belarus,” kata Encik Putin di Kremlin.

Beliau menambah, meskipun Rusia tidak mahu terlibat dalam perlumbaan senjata, negara itu akan terus mengukuhkan kekuatan nuklear dan mengekalkannya pada tahap yang mencukupi, termasuk menerusi peluru berpandu dan kapal selam baharu.

Rusia memiliki simpanan senjata nuklear terbesar di dunia dengan sekitar 4,400 kepala peledak nuklear yang dikerahkan dan disimpan, manakala Amerika Syarikat mempunyai sekitar 3,700, menurut Persekutuan Saintis Amerika.

China merupakan kuasa nuklear ketiga terbesar dunia dengan sekitar 620 kepala peledak, diikuti Perancis dengan 290 dan Britain sekitar 225, menurut persekutuan itu.

Rusia dan China pada Rabu (20 Mei) menyatakan bahawa rancangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bagi sistem pertahanan peluru berpandu Golden Dome akan mengancam kestabilan strategik.

LATIHAN PERANG NUKLEAR

Sebagai sebahagian daripada latihan itu, Rusia menguji pelancaran peluru berpandu balistik rentas benua Yars dari Kosmodrom Plesetsk di utara Rusia serta peluru berpandu hipersonik Zircon dari sebuah kapal frigat di Laut Barents, manakala sebuah kapal selam melancarkan peluru berpandu balistik Sineva, menurut Kementerian Pertahanan Rusia.

Rusia turut mempamerkan kapal selam peluru berpandu balistik berkuasa nuklear kelas Borei, pesawat anti-kapal selam Il-38 dan pesawat MiG-31 yang dilengkapi peluru berpandu hipersonik Kinzhal.

Unit-unit di Belarus dan Rusia turut menerima senjata nuklear sebagai sebahagian daripada latihan itu, kata Ketua Turus Am Rusia Valery Gerasimov kepada Encik Putin.

Latihan nuklear Rusia lazimnya menggunakan kepala peledak tiruan. Satu rakaman video yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Rusia menunjukkan sebuah trak tentera berbumbung kanvas bergerak dengan kawalan keselamatan minimum.

Latihan itu diadakan sedang Mosko menyatakan bahawa ia berdepan persaingan untuk kekal wujud dengan Barat berhubung Ukraine.

Sepanjang perang itu, Encik Putin beberapa kali mengingatkan dunia tentang kekuatan nuklear Rusia sebagai amaran kepada Barat supaya tidak melangkaui batas dalam menyokong Kyiv. Ukraine dan beberapa pemimpin Barat menyifatkan tindakan itu sebagai ancaman yang tidak bertanggungjawab.

KETEGANGAN DI BALTIK MEMUNCAK

Mosko turut menuduh negara-negara Baltik membenarkan Ukraine menggunakan ruang udara mereka untuk menyerang utara Rusia, dengan dakwaan itu disangkal oleh NATO.

Negara-negara Baltik, yang merupakan penyokong kuat Ukraine, pula mendakwa Rusia mengalihkan dron-dron Ukraine ke ruang udara mereka daripada sasaran asalnya di Rusia.

Kremlin pada Rabu mengkritik kenyataan diplomat kanan Lithuania sebagai “tidak masuk akal” selepas Menteri Luar Kestutis Budrys berkata NATO perlu menunjukkan kepada Mosko bahawa ia mampu menembusi wilayah terpencil Rusia di Kaliningrad.

Kaliningrad terletak antara anggota NATO Lithuania dan Poland di pesisir Baltik. Wilayah itu mempunyai sekitar sejuta penduduk dan diperkukuh dengan kehadiran tentera, selain menjadi markas Armada Baltik Rusia.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita