Rusia serang Kyiv jelang lawatan Zelenskyy ke Washington
KYIV: Rusia menyerang ibu negara Ukraine dengan dron dan peluru berpandu pada Sabtu (27 Dis), membunuh seorang wanita dan memutuskan bekalan elektrik ratusan ribu orang, menjelang rundingan terbaru Presiden Volodymyr Zelenskyy dengan pemimpin Amerika Syarikat Donald Trump.
Encik Zelenskyy berkata serangan itu menunjukkan Rusia tidak mahu hentikan pencerobohan yang dilancarkannya pada Februari 2022 yang menyebabkan puluhan ribu orang terkorban.
Menjelang rundingan presiden Ukraine di Florida dengan Encik Trump pada Ahad (28 Dis), Rusia menyatakan Kyiv dan sekutunya dari Kesatuan Eropah (EU) cuba "merombak" rancangan yang diusahakan oleh Amerika untuk menghentikan pertempuran.
Selain kematian itu, serangan dron dan peluru berpandu mencederakan berpuluh-puluh orang dan memutuskan bekalan elektrik dan pemanasan kepada ratusan ribu penduduk wilayah Kyiv semasa suhu salji, kata pihak berkuasa Ukraine.
Encik Zelenskyy berkata kira-kira 500 dron dan 40 peluru berpandu mengebom ibu kota dan wilayah sekitarnya.
Sebaik sahaja Encik Zelenskyy berlepas ke Amerika, agensi antirasuah Ukraine mengumumkan siasatan baharu di mana ia dakwa beberapa Ahli Parlimen terlibat. Ia cuba menyerbu pejabat parlimen namun disekat oleh para kakitangan keselamatan.
Semasa serangan Rusia, yang berlangsung selama 10 jam, wartawan AFP di Kyiv terdengar letupan kuat, ada yang diikuti dengan pancaran kilat yang menjadikan langit berwarna jingga.
Tentera Rusia berkata ia menggunakan peluru berpandu hipersonik dan dron untuk menyasarkan infrastruktur dan kemudahan tenaga "yang digunakan untuk kepentingan angkatan tentera Ukraine", serta tapak tentera.
Perdana Menteri Ukraine, Yulia Svyrydenko, berkata serangan itu menyebabkan kira-kira 600,000 pengguna terputus bekalan elektrik manakala pihak berkuasa berkata blok pangsapuri, asrama universiti dan stesen minyak antara bangunan yang terjejas.
Negara jiran Poland, ahli NATO, mengerahkan jet tempur dan meletakkan pertahanan udara dalam keadaan berjaga-jaga semasa serangan Rusia di Ukraine, menurut tentera Poland di media sosial. Trafik udara di dua lapangan terbang berhampiran sempadan Ukraine juga digantung sementara semasa serangan, tetapi disambung semula kemudian, menurut agensi navigasi udara negara itu.
RUNDINGAN DI FLORIDA
Mesyuarat pada Ahad di Florida untuk membincangkan usulan baharu diadakan sedang Encik Trump mempergiatkan usaha untuk menamatkan konflik paling dahsyat di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Pelan 20 perkara baharu itu akan membekukan perang di barisan hadapannya sekarang tetapi mungkin memerlukan Ukraine untuk menarik balik tentera dari timur, di mana zon penampan bebas tentera boleh diwujudkan, menurut butiran yang didedahkan oleh Encik Zelenskyy minggu ini.
Pelan baharu itu, yang dirumuskan dengan saranan Ukraine, merupakan pengakuan Kyiv yang paling jelas setakat ini tentang kemungkinan konsesi wilayah. Ia sangat berbeza daripada usulan 28 perkara sebelumnya yang dibentangkan oleh Washington bulan lalu yang mematuhi banyak tuntutan teras Rusia.
Berhubung rancangan Encik Zelenskyy, Encik Trump memberitahu saluran berita Politico pada Jumaat (26 Dis) bahawa "beliau tidak mempunyai apa-apa sehingga saya meluluskannya". Beliau menambah: "Jadi kita akan lihat apa yang dia ada."
Sebahagian daripada rancangan itu termasuk perjanjian dua hala Amerika-Ukraine yang berasingan mengenai jaminan keselamatan, pembinaan semula dan ekonomi. Encik Zelenskyy berkata perjanjian itu berubah setiap hari.
Dalam perjalanan ke Florida, Encik Zelenskyy akan bersinggah ke Kanada dan bercakap melalui panggilan video dengan negara-negara sekutu EU, untuk "mengkaji semua isu, memberikan perkembangan, dan bertukar butiran" tentang rancangan damai yang akan dibincangkan dengan Trump, katanya.
Timbalan Menteri Luar Rusia berkata Encik Zelenskyy cuba "merombak" rancangan awal yang dirangka oleh pegawai Rusia dengan Amerika.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.