Skip to main content

Dunia

Rusia sedia terus hantar bahan api ke India "tanpa gangguan"

Anggaran Waktu Membaca:
Rusia sedia terus hantar bahan api ke India "tanpa gangguan"
Presiden Rusia Vladimir Putin dan Perdana Menteri India Narendra Modi berjabat tangan semasa menghadiri pembentangan kenyataan bersama susuli rundingan peringkat delegasi di Hyderabad House di New Delhi, India, pada 5 Disember 2025. (Gambar: Reuters/Adnan Abidi)
NEW DELHI: Presiden Rusia, Vladimir Putin, pada Jumaat (5 Dis) berkata beliau bersedia untuk meneruskan "penghantaran bahan api tanpa gangguan" ke India, sedang New Delhi berdepan tekanan besar dari Amerika Syarikat untuk menghentikan pembelian minyak daripada Mosko.

Presiden Amerika Donald Trump mengenakan tarif 50 peratus yang membebankan ke atas kebanyakan produk India pada bulan Ogos, atas alasan India masih membeli minyak Rusia – hasil yang menurut Washington membantu membiayai perang di Ukraine.

Dalam sidang puncak antara Perdana Menteri Narendra Modi dan Encik Putin di New Delhi, mereka mengadakan perbincangan yang tertumpu kepada isu-isu tenaga, pertahanan dan perdagangan. Encik Modi mengucapkan terima kasih kepada pemimpin Rusia itu atas "komitmen teguh beliau terhadap India".

Lawatan Encik Putin itu adalah yang pertama ke India sejak perang Ukraine meletus.

"Rusia adalah pembekal yang boleh dipercayai bagi minyak, gas, arang batu, dan segala yang diperlukan untuk pembangunan tenaga India," kata Encik Putin kepada Encik Modi selepas perbincangan mereka.

"Kami bersedia untuk meneruskan penghantaran bahan api tanpa gangguan untuk ekonomi India yang pesat berkembang," tambah beliau, menurut penterjemah rasmi.

Encik Modi berkata bahawa "keselamatan tenaga telah menjadi tonggak kukuh dan penting dalam perkongsian India-Rusia," dan walaupun beliau merujuk kepada tenaga nuklear, beliau tidak membuat sebarang rujukan khusus kepada minyak.

India muncul sebagai pembeli utama minyak Rusia sejak perang Ukraine bermula. Ia menyediakan pasaran eksport penting bagi Mosko ketika Eropah mengurangkan pembelian dengan ketara.

Pada 2024, Rusia membekalkan hampir 36 peratus daripada jumlah import minyak mentah India, iaitu sekitar 1.8 juta tong minyak dengan harga lebih rendah dalam sehari.

New Delhi baru-baru ini mengurangkan import minyak mentah Rusia selepas mendapat tekanan.

Pada Jumaat, Encik Putin berkata beliau telah berkongsi dengan Encik Modi "banyak butiran mengenai perkembangan di Ukraine" dan usaha yang dilakukan Mosko "bersama beberapa rakan, termasuk Washington, mengenai kemungkinan penyelesaian secara aman".

Encik Modi berkata "India sentiasa menyokong keamanan berhubung Ukraine".

TANGGUNGJAWAB SEIMBANG

India sedang mengimbangi kedudukan diplomatik yang sukar - pada satu pihak ia bergantung pada import minyak strategik Rusia, tetapi ia juga berusaha untuk tidak mencetuskan kemarahan Encik Trump dalam rundingan tarif berterusan dengan Washington.

"Tanggungjawab seimbang adalah perkara biasa dalam penggubalan dasar luar India," tulis Pankaj Saran, mantan duta India ke Rusia, dalam Times of India pada Jumaat.

Encik Modi memanggil Encik Putin "sahabat saya" dan memuji hubungan yang terjalin sekian lama antara New Delhi dan Mosko.

"Kami telah bersetuju mengenai program kerjasama ekonomi sehingga 2030," kata Encik Modi kepada Encik Putin, selepas para pegawai kedua-dua negara menandatangani pelbagai perjanjian merangkumi pekerjaan, kesihatan, penghantaran dan kimia.

"Ini akan memastikan perdagangan dan pelaburan kita dipelbagaikan, seimbang dan mampan."

Perdagangan dua hala mencapai AS$68.7 (S$89.03) bilion pada 2024 hingga 2025 – hampir enam kali ganda lebih tinggi daripada paras sebelum pandemik – tetapi eksport India hanya berjumlah AS$4.88 (S$6.32) bilion.

"Lawatan ini adalah sebahagian daripada strategi India untuk mempelbagaikan kepentingannya dari segi strategik dan ekonomi, terutama sekali ketika tarif Amerika Syarikat memberi kesan kepada India," kata Ashok Malik, seorang konsultan perniagaan The Asia Group kepada AFP.

India adalah salah satu pengimport senjata terkemuka dunia, dan Rusia telah lama menjadi pembekal utama.

Namun, New Delhi juga telah mencari pembekal alternatif, serta meningkatkan pengeluaran domestik – dengan import senjata dari Rusia merosot daripada 76 peratus pada 2009 hingga 2013 kepada 36 peratus pada 2019 hingga 2023, menurut Institut Penyelidikan Kedamaian Antarabangsa Stockholm.

Selain perbincangan mengenai perkakasan pertahanan canggih, termasuk sistem pertahanan udara, jet pejuang dan kapal selam nuklear, New Delhi juga menekankan akses lebih mudah ke pasaran Rusia yang lebih luas.

Encik Putin menamatkan lawatannya pada Jumaat selepas majlis jamuan negara.
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita