Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rusia sedia terima cadangan gencatan senjata dengan Ukraine, namun perjanjian perlu disusun semula: Putin

Presiden Vladimir Putin berkata pada Khamis (13 Mac) bahawa Rusia menyokong cadangan Amerika Syarikat berkenaan gencatan senjata di Ukraine secara prinsip, tetapi sebarang gencatan senjata perlu menangani punca utama konflik tersebut dan banyak butiran penting masih perlu dihuraikan.

Anggaran Waktu Membaca:
Rusia sedia terima cadangan gencatan senjata dengan Ukraine, namun perjanjian perlu disusun semula: Putin

Presiden Vladimir Putin berucap di sidang media di Mosko, Rusia, pada 13 Mac 2025. (Gambar: AP/Alexander Zemlianichenko)

Diterbitkan : 14 Mar 2025 08:46AM Dikemas Kini : 14 Mar 2025 08:47AM
MOSKO: Presiden Vladimir Putin berkata pada Khamis (13 Mac) bahawa Rusia menyokong cadangan Amerika Syarikat berkenaan gencatan senjata di Ukraine secara prinsip, tetapi sebarang gencatan senjata perlu menangani punca utama konflik tersebut dan banyak butiran penting masih perlu dihuraikan.

Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Februari 2022 menyebabkan ratusan ribu orang terbunuh dan cedera, berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal, bandar-bandar musnah, dan mencetuskan konfrontasi paling tegang antara Mosko dengan negara Barat dalam tempoh beberapa dekad.

Sokongan Encik Putin yang berkecuali terhadap cadangan gencatan senjata oleh Amerika dilihat bertujuan memberi isyarat niat baik kepada Washington dan membuka pintu bagi rundingan lanjut dengan Presiden Amerika Donald Trump. Namun, jumlah penjelasan yang diminta Encik Putin dan syarat-syarat yang dicadangkannya bagi meyakinkan Mosko berkemungkinan menutup peluang berlakunya gencatan senjata yang segera.

"Kami bersetuju dengan cadangan untuk menghentikan permusuhan," kata Presiden Putin kepada wartawan semasa sidang media di Kremlin menyusuli rundingan dengan Presiden Belarus Alexander Lukashenko. "Idea itu sendiri adalah betul, dan kami sudah tentu menyokongnya."

“Tetapi kami berpandangan bahawa penghentian ini harus membawa kepada keamanan jangka panjang dan menghapuskan punca asal krisis ini.”

Beliau kemudian menyenaraikan pelbagai isu yang menurutnya perlu diperjelaskan dan mengucapkan terima kasih kepada Presiden Amerika Donald Trump, yang mengatakan beliau mahu dikenang sebagai pembawa damai, atas usahanya untuk menamatkan peperangan yang kini dianggap oleh kedua-dua pihak, Mosko dan Washington, sebagai perang proksi yang membawa maut dan berpotensi mencetuskan Perang Dunia Ketiga.

Encik Trump berkata beliau bersedia untuk berbincang dengan pemimpin Rusia itu melalui telefon, menyifatkan kenyataan Encik Putin sebagai “sangat memberangsangkan” dan berkata bahawa beliau berharap Mosko akan “melakukan perkara yang betul.”

Encik Trump berkata Steve Witkoff, utusan khasnya, telah berrunding secara serius dengan pihak Rusia di Mosko berhubung cadangan Amerika yang telah dipersetujui Kyiv.

Ukraine berkemungkinan melihat pendirian Encik Putin sebagai satu percubaan untuk "membeli masa", sedang tentera Rusia memaksa keluar tentera Ukraine dari barat Rusia, sementara Mosko terus berpegang kepada tuntutan yang dianggap Kyiv sebagai usaha bagi memaksa mereka menyerah kalah.

Negara Barat dan Ukraine menggambarkan pencerobohan Rusia pada 2022 sebagai rampasan tanah yang bercorak imperialis, dan berulang kali berikrar untuk menewaskan pasukan Rusia. Pasukan Rusia kini menguasai hampir satu perlima wilayah Ukraine dan menguasai lebih banyak kawasan secara beransur-ansur sejak pertengahan 2024.

Encik Putin menggambarkan konflik tersebut sebagai sebahagian daripada pertempuran eksistensial dengan pihak Barat yang semakin meruncing, yang menurutnya telah menghina Rusia selepas Tembok Berlin runtuh pada 1989 dengan memperbesar pakatan ketenteraan NATO dan menceroboh apa yang dianggapnya sebagai kawasan pengaruh Mosko, termasuk Ukraine.

Kuasa-kuasa Eropah amat bimbang bahawa Encik Trump mungkin berpaling dari Eropah untuk mencapai perjanjian besar dengan Encik Putin yang mungkin melibatkan China, harga minyak, kerjasama di Timur Tengah, dan Ukraine.

Presiden Putin berkata pasukan Rusia sedang bergerak maju di barisan hadapan dan gencatan senjata perlu memastikan bahawa Ukraine tidak menggunakannya hanya untuk berkumpul semula.

"Bagaimana boleh kami diberi jaminan bahawa perkara seperti ini tidak akan berlaku? Bagaimana kawalan (gencatan senjata) akan diatur?" kata Encik Putin. "Ini semua adalah soalan yang serius."

"Terdapat isu-isu yang perlu kami bincangkan. Dan saya rasa kami juga perlu berbincang dengan rakan sejawatan Amerika kami."

Encik Putin berkata beliau mungkin akan menelefon Encik Trump untuk membincangkan isu ini.

Amerika Syarikat bersetuju pada Selasa (12 Mac) untuk menyambung semula bekalan senjata dan perkongsian risikan dengan Ukraine selepas Kyiv menyatakan dalam rundingan di Arab Saudi bahawa mereka bersedia untuk menyokong cadangan bagi gencatan senjata.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Rusia melancarkan serangan kilat di wilayah Kursk di barat Rusia terhadap pasukan Ukraine yang menembusi sempadan pada Ogos dalam usaha untuk mengalihkan tumpuan tentera Mosko dari timur Ukraine, bagi memperoleh kelebihan untuk berrundingan, dan memalukan Presiden Putin.

Pemimpin Rusia itu terfikir bagaimana gencatan senjata akan memberi kesan kepada situasi di Kursk, di mana Encik Putin pada Rabu mengenakan pakaian seragam “camouflage” - sesuatu yang sangat jarang bagi bekas pegawai KGB itu - ketika melawat pos komando.

"Jika kita menghentikan permusuhan selama 30 hari, apa maksudnya? Adakah semua orang yang ada di sana akan pergi tanpa pertarungan?" kata beliau.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan