Rusia sedia adakan perjanjian mengenai Ukraine, Amerika harap libatkan Zelenskyy: Trump
Presiden Amerika Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin berbual semasa sesi bergambar di Sidang Puncak APEC di Danang, Vietnam pada 11 November 2017. (Gambar fail: REUTERS/Jorge Silva)
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, bersama sekutu Eropahnya minggu ini memperhebat usaha bagi menghalang sebarang perjanjian antara Amerika Syarikat dengan Rusia semasa sidang puncak Jumaat yang berpotensi menyebabkan Ukraine terdedah kepada ancaman serangan di masa depan.
“Saya rasa beliau (Putin) akan membuat perjanjian,” kata Encik Trump dalam temu bual radio Fox News, sambil menambah bahawa jika mesyuarat itu berjalan lancar, beliau akan segera menghubungi Encik Zelenskyy dan pemimpin Eropah; tetapi jika sebaliknya, beliau tidak akan berbuat demikian.
Encik Trump menjelaskan tujuan perbincangan pada Jumaat dengan Encik Putin adalah untuk menyediakan laluan kepada pertemuan kedua yang turut melibatkan Ukraine, namun beliau mengakui: “Saya tidak pasti kita akan dapat gencatan senjata serta-merta.”
Sementara itu, Encik Putin bertemu menteri kanan dan pegawai keselamatan Rusia sebagai persediaan menjelang pertemuannya dengan Encik Trump di Anchorage, Alaska. Beliau menyatakan bahawa Amerika Syarikat kini sedang membuat usaha yang “bersungguh-sungguh dan tulus” untuk menghentikan konflik, mengakhiri krisis dan mencapai persetujuan yang menguntungkan semua pihak.
Encik Putin menambah, langkah ini bertujuan mewujudkan keadaan jangka panjang untuk keamanan antara kedua-dua negara, di Eropah dan dunia, termasuk melalui persetujuan dalam kawalan senjata strategik.
Kenyataan itu memberi petunjuk bahawa isu kawalan senjata nuklear akan menjadi sebahagian daripada perbincangan keselamatan yang lebih luas bersama Encik Trump. Seorang pembantu Kremlin memaklumkan mereka juga akan membincangkan potensi hubungan ekonomi yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya antara Rusia dan Amerika Syarikat.
Menurut seorang pegawai Eropah Timur, Encik Putin mungkin cuba mengalih perhatian Encik Trump daripada isu Ukraine dengan menawarkan kemajuan dalam kawalan senjata atau peluang kerjasama ekonomi. Pegawai itu memberi amaran: “Kami berharap Trump tidak terpedaya; Rusia hanya mahu mengelak sekatan baharu dan menyingkirkan sekatan sedia ada.”
"SEPERTI PERMAINAN CATUR"
Encik Trump berkata akan ada sidang media selepas rundingan, tetapi belum pasti sama ada ia sidang bersama. Beliau turut menyatakan bahawa perbincangan akan melibatkan tolak ansur mengenai sempadan dan wilayah.
“Pertemuan kedua akan menjadi sangat penting. Yang ini ibarat membuka langkah awal dalam permainan catur. Tapi ada kira-kira 25 peratus kemungkinan ia tidak akan berjaya,” katanya.
Encik Trump menegaskan bahawa terpulang kepada Encik Putin dan Encik Zelenskyy untuk mencapai persetujuan, sambil berkata: “Saya tidak akan menjadi pihak yang merundingkan perjanjian mereka.”
Kini Rusia menguasai kira-kira satu perlima wilayah Ukraine, dan Encik Zelenskyy bersama pemimpin Eropah bimbang sebarang perjanjian boleh mengesahkan keuntungan tersebut, sekali gus memberi ganjaran kepada Encik Putin selepas lebih sedekad cuba menguasai tanah Ukraine, malah mungkin mendorongnya meluaskan pengaruh ke Eropah.
Seorang diplomat EU berkata, “menakutkan untuk melihat bagaimana keadaan akan berkembang dalam beberapa jam akan datang. Encik Trump berbincang baik dengan Eropah semalam, tapi itu semalam.”
Pada pertemuan maya saat akhir dengan pemimpin Eropah dan Encik Zelenskyy pada Rabu, Encik Trump menunjukkan kesediaan untuk menyertai jaminan keselamatan bagi Ukraine, walaupun beliau tidak mengumumkannya secara terbuka selepas itu.
Sidang puncak Jumaat ini adalah yang pertama antara Rusia dengan Amerika Syarikat sejak Jun 2021, berlangsung ketika Ukraine berada di fasa paling sukar perang yang telah meragut puluhan ribu nyawa dan memaksa jutaan orang berpindah sejak pencerobohan besar-besaran Rusia pada Februari 2022.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berkata Encik Trump memberitahu bahawa NATO tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada jaminan keselamatan bagi Ukraine dalam penyelesaian selepas perang. Namun, Encik Trump juga berkata Amerika Syarikat dan mana-mana sekutu yang sanggup perlu turut serta dalam jaminan itu.
Seorang pegawai Eropah memberitahu Reuters bahawa Encik Trump bersedia memberi beberapa bentuk jaminan keselamatan kepada Eropah, walaupun tidak menjelaskan butirannya.
Masih belum jelas bagaimana bentuk jaminan itu akan diterjemahkan dalam pelaksanaan sebenar.
Pada Rabu, Encik Trump memberi amaran akan ada “akibat yang teruk” jika Encik Putin tidak bersetuju dengan damai, dan mengancam sekatan ekonomi jika pertemuan pada Jumaat berakhir tanpa hasil.
Rusia dijangka menolak tuntutan Ukraine dan Eropah, dan berpegang pada pendirian yang dinyatakan Encik Putin sejak Jun 2024.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.