Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rusia perhebat serangan peluru berpandu di bandar pelabuhan Odesa

Anggaran Waktu Membaca:
Rusia perhebat serangan peluru berpandu di bandar pelabuhan Odesa

(Gambar: Oleksandr Gimanov/AFP)

Diterbitkan : 10 May 2022 05:53PM Dikemas Kini : 10 May 2022 05:53PM

KYIV: Pasukan bomba  bertungkus lumus memadamkan kebakaran di Odesa sehingga awal pagi Selasa (10 Mei) selepas bandar pelabuhan di Ukraine itu dibedil peluru berpandu Rusia pada hari Presiden Rusia Vladimir Putin menyertai perarakan di Moscow sempena memperingati Hari Kemenangan Soviet ke atas Nazi Jerman semasa Perang Dunia Kedua. 

Dalam ucapannya pada Isnin (9 Mei), Encik Putin menggesa rakyat Rusia untuk mempertahankan negara mereka, tetapi tidak menyentuh sebarang rancangan untuk mengerahkan tenteranya bagi meningkatkan  serangan terhadap Ukraine. 

Di Ukraine sendiri, Rusia terus meningkatkan serangan di bahagian timur dan selatan serta melaksanakan gerakan baru untuk menumpaskan saki-baki tentera Ukraine yang masih bertahan di sebuah kilang besi di Mariupol.

Sekurang-kurangnya 100 orang awam terperangkap di kilang tersebut, yang masih di bawah bedilan hebat Rusia, menurut seorang penolong kepada datuk bandar Mariupol pada Selasa (10 Mei). 

Semboyan serangan udara berbunyi di beberapa daerah di Ukraine pada awal Selasa (10 Mei), termasuk di Luhansk, Kharkiv dan Dnipro. 

Gabenor Luhansk Serhiy Gaidai berkata daerah itu diserang 22 kali dalam tempoh 24 jam lalu. 

"Pada 9 Mei, pasukan Rusia melancarkan  serangan secara serentak ke atas semua laluan keluar daerah itu." 

Sambutan tahunan Hari Kemenangan di Moscow semalam, disertakan perarakan peluru berpandu dan kereta kebal seperti kebiasaannya, dengan Presiden Putin memberitahu rakyat Rusia bahawa mereka sedang sekali lagi memerangi "Nazi". 

"Kamu sedang berperang untuk Tanah Air, untuk masa depannya, supaya tiada yang akan melupakan pengajaran Perang Dunia Kedua. Supaya tiada ruang di dunia ini untuk pembunuh, penghukum dan Nazi," katanya di Moscow. 

Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy dalam ucapannya sendiri pada Isnin (9 Mei) berjanji bahawa rakyat Ukraine akan mencapai kemenangan. 

"Pada Hari Kemenangan  terhadap Nazi, kita melawan untuk mencapai kemenangan baru. Laluannya sukar, namun kami yakin akan menang," kata Presiden Zelenskyy. 

Di Odesa, bandar pelabuhan di Laut Hitam, seorang terbunuh dan lagi lima cedera apabila sebuah pusat beli-belah dan kilang dibedil tujuh peluru berpandu, menurut catatan pasukan tentera Ukraine di Facebook. 

Rakaman video di tempat kejadian menunjukkan kebakaran sedang berlaku dan pasukan penyelamat mencari mangsa di bawah runtuhan. Khidmat kecemasan Ukraine berkata semua kebakaran berjaya dipadamkan awal Selasa (10 Mei). 

Ukraine dan rakan-rakan sekutunya sedang berusaha mencari jalan untuk membuka semula pelabuhan atau menyediakan laluan alternatif untuk mengeksport bijirin, gandum dan jagung. 

Presiden Majlis Eropah Charles Michel melawat Odesa pada Isnin (9 Mei) dan pertemuannya bersama Perdana Menteri Ukraine Denys Shymyhal terganggu akibat serangan peluru berpandu. 

Perbincangan mereka diteruskan di sebuah kubu bom, menurut akaun rasmi Twitter Shmyhal. 

Di bandar Bogudukhov di daerah barat laut Kharkiv, empat orang maut dan beberapa rumah musnah akibat serangan Rusia pada Isnin (9 Mei), menurut media tempatan, menukil pegawai Kharkiv. 

Kementerian pertahanan Ukraine menyatakan pasukan Rusia dengan disokong kereta kebal dan meriam melakukan "operasi besar-besaran" ke atas kilang Azovstal di Mariupol, di mana ratusan anggota tentera Ukraine masih bertahan sejak beberapa bulan lalu. 

Sumber : Reuters/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa