Skip to main content

Dunia

Rusia nafi terlibat kes bakar hartanah yang dikaitkan dengan PM Britain, Starmer

Seorang pegawai kanan Kremlin pada Isnin (26 Mei) memperlekehkan laporan bahawa Rusia mungkin terlibat dalam serangan pembakaran terbaharu ke atas rumah peribadi Perdana Menteri Britain Keir Starmer, sebuah bangunan tempat beliau pernah tinggal dan sebuah kereta yang pernah dimilikinya."

Anggaran Waktu Membaca:
Rusia nafi terlibat kes bakar hartanah yang dikaitkan dengan PM Britain, Starmer

Anggota polis berdiri di luar kediaman peribadi Perdana Menteri Britain, Keir Starmer di utara London, Britain, pada 13 Mei 2025. (Gambar: REUTERS/Toby Melville)

Diterbitkan : 27 May 2025 08:33AM
LONDON: Seorang pegawai kanan Kremlin pada Isnin (26 Mei) memperlekehkan laporan bahawa Rusia mungkin terlibat dalam serangan pembakaran terbaharu ke atas rumah peribadi Perdana Menteri Britain Keir Starmer, sebuah bangunan tempat beliau pernah tinggal dan sebuah kereta yang pernah dimilikinya.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, memberi maklum balas tersebut kepada laporan Financial Times (FT) yang menyatakan bahawa pegawai keselamatan United Kingdom (UK) sedang menyiasat kemungkinan pelibatan Rusia dalam insiden tersebut.

The Associated Press belum dapat mengesahkan secara bebas laporan FT yang bergantung kepada sumber yang tidak dinamakan dalam kalangan pegawai kanan pemerintah Britain. Namun Encik Peskov, menurut akhbar yang berpangkalan di London itu, tidak memberi maklum balas ketika laporan tersebut diterbitkan pada Jumaat telah ditanya mengenai perkara itu semasa sidang media rutinnya pada Isnin.

“London cenderung mengesyaki Rusia bagi apa jua perkara buruk yang berlaku di Britain,” kata Encik Peskov. “Kebiasaannya, semua syak wasangka ini tidak berasas, tidak disokong bukti dan sering kali menggelikan hati.”

Pihak berkuasa memaklumkan bahawa tiada individu yang cedera dalam kebakaran yang berlaku pada tiga malam antara 8 Mei hingga 12 Mei di utara London.

3 LELAKI DIBERKAS KERANA MEMBAKAR DENGAN SENGAJA

Tiga lelaki yang mempunyai kaitan dengan Ukraine berdepan tuduhan membakar dengan sengaja dan kini diberkas tanpa jaminan sementara menunggu perbicaraan pada 6 Jun di Mahkamah Jenayah Pusat London.

Seorang pendakwa raya berkata tiada penjelasan diberikan bagi jenayah tersebut, dan tiada pegawai rasmi yang secara terbuka menyatakan bahawa Mosko bertanggungjawab atas kebakaran itu.

Namun insiden membakar dengan sengaja itu sepadan dengan corak gangguan yang sering didakwa dilakukan Rusia dan proksi-proksinya oleh pegawai Barat, sebagai usaha untuk melemahkan sokongan terhadap Ukraine sejak pencerobohan berskala besar oleh Mosko tiga tahun lalu, serta menimbulkan perpecahan di Eropah.

AP merekodkan hampir 60 insiden di mana pemerintah Eropah, pendakwa raya, perkhidmatan risikan atau pegawai Barat lain menyalahkan Rusia, kumpulan yang dikaitkan dengan Rusia, atau sekutunya Belarus atas serangan siber, penyebaran propaganda, perancangan pembunuhan, vandalisme, pembakaran dengan sengaja, sabotaj atau kegiatan pengintipan sejak pencerobohan pada 2022.

KEMPEN SABOTAJ YANG "AMAT CUAI"

Ketua perkhidmatan risikan luar Britain, Richard Moore, tahun lalu menuduh Rusia melancarkan kempen sabotaj yang “amat cuai” terhadap sekutu Barat Ukraine.

Dua minggu lalu, enam warga Bulgaria dijatuhi hukuman penjara yang panjang oleh sebuah mahkamah di London kerana menjalankan operasi pengintipan bagi pihak Rusia.

Pejabat Perdana Menteri Starmer tidak memberikan sebarang komen pada Isnin mengenai laporan FT atau kenyataan Encik Peskov. Ia merujuk AP kepada Polis Metropolitan, yang belum memberikan maklum balas segera terhadap permintaan untuk mendapatkan komen. Pejabat Luar Negeri juga tidak memberikan respons segera.

Detektif anti-pengganasan menyiasat kebakaran yang berkaitan dengan Encik Starmer kerana insiden tersebut melibatkan seorang perdana menteri. Tuduhan dikenakan oleh Bahagian Anti-pengganasan Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota, yang bertanggungjawab mendakwa kesalahan berkaitan ancaman terhadap negara, antara lain.

Warga Ukraine, Roman Lavrynovych, 21 tahun, didakwa atas tiga pertuduhan membakar dengan sengaja dengan niat membahayakan nyawa. Rakan senegaranya, Petro Pochynok, 34 tahun, dan warga Romania kelahiran Ukraine, Stanislav Carpiuc, 26 tahun, pula didakwa atas konspirasi untuk melakukan pembakaran dengan sengaja dengan niat membahayakan nyawa.

Encik Starmer dan keluarganya telah berpindah keluar dari kediaman lamanya selepas beliau dilantik sebagai perdana menteri pada Julai lalu, dan kini menetap di kediaman rasmi perdana menteri di Downing Street.

Sebuah Toyota RAV4 yang dijual Encik Starmer kepada jirannya dibakar pada 8 Mei, tidak jauh dari rumah lamanya sebelum beliau menyandang jawatan tersebut. Pintu sebuah apartmen yang pernah didiaminya dibakar pada 11 Mei, dan pada 12 Mei, pintu masuk rumah lamanya turut hangus akibat dibakar.
Sumber : AP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita