Skip to main content

Dunia

Rusia lancar serangan udara terbesar di Ukraine, bangunan utama pemerintah terbakar

Serangan udara semalaman terbesar Rusia sejak perang bermula menyebabkan bangunan utama pemerintah Ukraine di Kyiv terbakar dan meragut tiga nyawa, termasuk seorang bayi yang mayatnya ditemui di bawah runtuhan, menurut pegawai Ukraine pada Ahad (7 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Rusia lancar serangan udara terbesar di Ukraine, bangunan utama pemerintah terbakar

Anggota kecemasan memadamkan kebakaran di sebuah apartmen yang rosak akibat serangan dron Rusia di Kyiv, Ukraine, pada 7 September 2025. (Gambar: REUTERS/Thomas Peter)

KYIV: Serangan udara semalaman terbesar Rusia sejak perang bermula menyebabkan bangunan utama pemerintah Ukraine di Kyiv terbakar dan meragut tiga nyawa, termasuk seorang bayi yang mayatnya ditemui di bawah runtuhan, menurut pegawai Ukraine pada Ahad (7 Sep).

“Buat pertama kalinya, bangunan pemerintah mengalami kerosakan akibat serangan musuh – bumbung dan tingkat atasnya,” kata Perdana Menteri Ukraine, Yulia Svyrydenko, menerusi aplikasi pesanan Telegram.

“Pasukan penyelamat sedang memadamkan kebakaran.”

Saksi Reuters melihat tingkat atas bangunan utama pemerintah Ukraine, yang terletak di daerah bersejarah Pecherskyi, terbakar dengan asap tebal mengepul ke arah langit biru selepas matahari terbit.

Tentera Udara Ukraine menyatakan di Telegram bahawa Rusia melancarkan 805 dron ke Ukraine semalaman bersama 13 peluru berpandu, dengan unit pertahanan Ukraine berjaya menembak jatuh 751 dron dan empat peluru berpandu.

Jumlah dron yang dilancarkan itu merupakan yang tertinggi oleh Rusia ke atas Ukraine sejak Mosko melancarkan pencerobohan berskala penuh pada Februari 2022.

Mosko tidak memberi komen segera mengenai serangan tersebut. Kedua-dua Rusia dan Ukraine menafikan bahawa mereka menyasarkan orang awam dalam serangan masing-masing, namun ribuan sudah terkorban dalam perang yang sedang berlangsung itu.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita