Skip to main content

Dunia

Rusia lancar serangan besar-besaran ke atas kemudahan gas Ukraine

Satu serangan udara besar-besaran Rusia terkena beberapa kemudahan utama pengeluaran gas Ukraine, menurut pihak berkuasa pada Jumaat (3 Okt), dengan sebahagiannya mengalami kerosakan kritikal sedang Ukraine bersiap sedia bagi musim pemanasan baharu.

Anggaran Waktu Membaca:
Rusia lancar serangan besar-besaran ke atas kemudahan gas Ukraine

Para pekerja menjalankan tugas di sebuah telaga gas milik syarikat tenaga negara Ukraine, Naftogaz, di wilayah Lviv, Ukraine, pada 1 Oktober 2022. (Gambar fail: REUTERS/Pavlo Palamarchuk)

KYIV: Satu serangan udara besar-besaran Rusia terkena beberapa kemudahan utama pengeluaran gas Ukraine, menurut pihak berkuasa pada Jumaat (3 Okt), dengan sebahagiannya mengalami kerosakan kritikal sedang Ukraine bersiap sedia bagi musim pemanasan baharu.

Rusia melancarkan 35 peluru berpandu dan 60 dron ke atas tapak syarikat gas dan minyak Naftogaz di wilayah Kharkiv dan Poltava sepanjang malam, kata ketua pegawai eksekutif Sergii Koretskyi, sambil menambah ia adalah serangan paling dahsyat terhadap kemudahan pengeluaran gas tersebut.

"Disebabkan oleh serangan itu, sebahagian besar kemudahan kami mengalami kerosakan. Sesetengah kemusnahan itu juga bersifat kritikal," katanya di Facebook, sambil menambah 'tiada rasional ketenteraan' bagi serangan itu.

Kementerian Pertahanan Rusia mengesahkan tenteranya melancarkan serangan besar-besaran sepanjang malam terhadap kemudahan gas dan tenaga Ukraine, sambil menyatakan ia turut menyerang kemudahan-kemudahan perindustrian ketenteraan.

“Sejurus sebelum musim pemanasan bermula, Rusia mencari jalan untuk mencertuskan lebih banyak kemudaratan kepada rakyat kami,” kata Presiden Volodymyr Zelenskyy dalam ucapannya pada lewat petang, sambil menambah hanya separuh daripada peluru berpandu yang dilancarkan serentak berjaya dipintas.

Sebelum ini, Ukraine meningkatkan import gasnya kerana bimbang berlaku gangguan bekalan domestik, dan berhasrat untuk menyimpan 13.2 bilion meter padu (bcm) gas dalam kemudahan simpanannya menjelang pertengahan Oktober. Ini termasuk sekitar 4.6 bcm gas import.

Serangan Rusia terhadap infrastruktur gas Ukraine awal tahun ini mengurangkan pengeluaran domestik sebanyak 40 peratus.

GANGGUAN BEKALAN ELEKTRIK, KRISIS TENAGA

Penyedia tenaga swasta terbesar Ukraine, DTEK, menyatakan ia sudah menggantung operasinya di beberapa kemudahan gas di wilayah Poltava selepas berlaku serangan sepanjang malam itu.

Lebih 8,000 pengguna terputus bekalan elektrik, kata gabenor wilayah tersebut.

Menurut tentera udara Ukraine, serangan besar-besaran Rusia ke atas enam daripada 24 wilayah itu melibatkan 381 dron dan 35 peluru berpandu.

Rusia memperhebatkan serangan ke atas sektor tenaga Ukraine menjelang musim sejuk keempat perang tersebut dan serangan-serangan itu sudah pun mencetuskan gangguan bekalan elektrik berpanjangan di beberapa wilayah.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita