Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rusia lancar 203 serangan, puluhan terbunuh: Polis Ukraine

Anggaran Waktu Membaca:
Rusia lancar 203 serangan, puluhan terbunuh: Polis Ukraine

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 25 Feb 2022 12:02AM Dikemas Kini : 25 Feb 2022 12:06AM

KYIV: Pasukan polis Ukraine mendakwa Rusia sudah melancarkan 203 serangan sejak awal Khamis (24 Feb), dengan pertempuran masih berlaku di hampir semua wilayah Ukraine, lapor Reuters.

Pasukan keselamatan sempadan menyatakan, tentera Ukraine sedang bertempur dengan Rusia di timur bandar Sumy.

"Terdapat anggota tentera Russia ditahan sepanjang pertempuran," kata Kementerian Pertahanan Ukraine.

Presiden Rusia Vladimir Putin melancarkan serangan besar-besaran ke atas Ukraine pada Khamis, melepaskan serangan udara dan mengarahkan tentera darat melintasi sempadan dalam pertempuran yang menurut pihak berkuasa Ukraine menyebabkan berpuluh-puluh orang terbunuh.

Serangan itu mencetuskan amaran Barat mengenai sekatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap Rusia apabila pemimpin NATO, EU dan G7 mengecam pencerobohan itu dan berikrar untuk mempertanggungjawabkan Moscow.

Sekurang-kurangnya 68 orang terbunuh di seluruh negara, itu termasuk tentera dan orang awam, menurut AFP daripada sumber rasmi Ukraine.

Semboyan serangan udara memecah keheningan pagi di Kyiv selepas lapangan terbang utama bandar itu dibom Rusia, yang  pertama di bandar itu sejak Perang Dunia II.

"Saya terjaga kerana bunyi kuat bom. Saya mengemas beg dan cuba melarikan diri," kata Maria Kashkoska kepada AFP, ketika dia berlindung di dalam stesen kereta api bawah tanah.

Datuk Bandar ibu kota Kyiv berkata, empat stesen metro akan digunakan sebagai tempat perlindungan dari serbuan udara.

Ukraine menyatakan  tentera Rusia telah berjaya sampai ke wilayah sekitar Kyiv dan pertempuran berlaku di pangkalan udara berhampiran bandar itu.

Seorang wartawan AFP di bahagian utara bandar itu melihat beberapa helikopter terbang rendah.

Dalam serangan paling berdarah  yang dilaporkan  pihak berkuasa, 18 orang terbunuh di pangkalan tentera berhampiran bandar pelabuhan Laut Hitam Ukraine, Odessa.

Perkhidmatan kecemasan Ukraine juga berkata sebuah pesawat tentera dengan 14 orang di dalamnya terhempas di selatan Kyiv dan belum dapat dipastikan berapa ramai orang yang maut.

Pimpinan Ukraine tempatan di wilayah Donetsk pula berkata, tentera Rusia telah menyerang sebuah hospital di sana, mengorbankan empat orang.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengisytiharkan undang-undang darurat dan menuduh Rusia bertindak seperti "Jerman Nazi" tetapi meminta orang ramai tidak panik dan menjanjikan kemenangan.

Sementara itu, tentera Ukraine mendakwa telah membunuh "kira-kira 50 pencerobah Rusia" semasa menangkis serangan ke atas sebuah bandar di barisan hadapan dengan pemberontak yang disokong Moscow.

Jjumlah tersebut tidak dapat disahkan AFP.

Kementerian pertahanan Rusia berkata ia telah memusnahkan lebih 70 sasaran tentera, termasuk 11 lapangan terbang.

Menurut Ukraine kereta kebal Rusia dan peralatan berat melintasi sempadan di beberapa wilayah utara, di bahagian timur serta dari semenanjung Crimea.

Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berkata operasi itu akan berlangsung selama tempoh yang diperlukan,  kerana "matlamat yang perlu dicapai".

Sumber : Reuters/SU/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa