Rusia lakukan 'segalanya' untuk henti pertemuan dengan Putin, kata Zelenskyy
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pada Jumaat (22 Ogos) berkata Rusia melakukan segalanya untuk menghentikan pertemuan antara beliau dengan Vladimir Putin, dan menggesa sekutu Ukraine untuk mengenakan sekatan baharu ke atas Mosko jika ia tidak menunjukkan minat terhadap keamanan.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy berucap pada sidang media bersama Setiausaha Agung NATO Mark Rutte (tidak kelihatan), di tengah-tengah serangan Rusia ke atas Ukraine, di Kyiv, Ukraine, pada 22 Ogos 2025. (Gambar: REUTERS/Thomas Peter)
Bercakap pada sidang media bersama dengan Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte di Kyiv, Encik Zelenskyy berkata mereka sudah membincangkan jaminan keselamatan untuk Ukraine oleh negara-negara lain.
Beliau berkata jaminan tersebut seharusnya serupa dengan Perkara 5 NATO, yang menganggap serangan ke atas satu anggota perikatan sebagai serangan terhadap semua.
"Ini adalah permulaan satu usaha besar, dan ia tidak mudah, kerana jaminan terdiri daripada apa yang boleh diberikan oleh rakan negara kami kepada Ukraine, serta bagaimana sepatutnya tentera Ukraine, dan di mana kami boleh mencari peluang untuk tentera mengekalkan kekuatannya," kata Encik Zelenskyy.
Pemimpin Ukraine itu juga menyeru sekutu negaranya untuk menekan Rusia ke "sekurang-kurangnya kedudukan yang produktif pada tahap minimum".
Encik Zelenskyy berulang kali menyeru Encik Putin untuk bertemu dengannya, dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata presiden Rusia itu sudah bersetuju untuk pertemuan tersebut dalam panggilan telefon dengannya semasa lawatan pemimpin Eropah ke Washington.
"Rusia melakukan segala yang terdaya untuk menghalang pertemuan itu daripada berlaku," kata Encik Zelenskyy pada Jumaat.
"Tidak seperti Rusia, Ukraine tidak takut dengan sebarang pertemuan dengan para pemimpin."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.