Skip to main content

Dunia

Rusia, India tandatangan 29 dokumen susuli rundingan Putin-Modi

Anggaran Waktu Membaca:
Rusia, India tandatangan 29 dokumen susuli rundingan Putin-Modi
Presiden Putin dan PM Modi semasa di Forum Perniagaan India-Rusia di New Delhi, India pada 5 Disember 2025. (Gambar: REUTERS)
NEW DELHI: Rusia dan India menandatangani 29 dokumen bersama selepas perbincangan antara Presiden Rusia Vladimir Putin dan Perdana Menteri India Narendra Modi, lapor koresponden RIA Novosti pada Jumaat (5 Dis) seperti yang ditukil BERNAMA.

Presiden Putin tiba di New Delhi pada Khamis (4 Dis) untuk lawatan dua hari.

Antara dokumen yang ditandatangani termasuk program pembangunan bidang strategik kerjasama ekonomi sehingga 2030 serta perjanjian kerjasama dalam sektor kesihatan, pendidikan perubatan dan sains. Kedua-dua negara turut menandatangani protokol kerjasama bagi pertukaran maklumat lanjutan mengenai barangan dan kenderaan yang dihantar antara Rusia dan India.

Selain itu, memorandum persefahaman antara Lembaga Maritim Rusia dan Kementerian Pelabuhan, Perkapalan dan Laluan Air India serta memorandum latihan pakar bagi kapal yang beroperasi di perairan kutub turut dimeterai. Rusia dan India juga menandatangani perjanjian hasrat untuk membina loji pengeluaran bahan aktif farmaseutikal di Wilayah Kaluga, Rusia.

Pengeluar baja Rusia Uralchem menandatangani perjanjian kerjasama dengan Rashtriya Chemicals and Fertilisers Limited India, National Fertilisers Limited dan Indian Potash Limited. Sementara itu, Russian Post menandatangani perjanjian dengan Jabatan Pos di bawah Kementerian Komunikasi India.

Dokumen lain yang ditandatangani termasuk perjanjian kerjasama dalam penyimpanan, pemprosesan dan penghantaran data dalam sistem angkasa antara Russian National Research University Higher School of Economics dan Universiti Delhi; memorandum persefahaman antara Universiti Negeri Tomsk Rusia dan Institut Teknologi Lanjutan Pertahanan India; serta perjanjian kerjasama antara Universiti Negeri Moscow Lomonosov, Syarikat Pengurusan Saham Bersama Dana Pelaburan Langsung Rusia dan Universiti Mumbai.

Dalam bidang media, Gazprom-Media Holding Rusia, National Media Group, saluran RT dan Big Asia Media Group menandatangani beberapa memorandum persefahaman untuk kerjasama penyiaran dengan penyiar India, Prasar Bharati.

Kesatuan Industri dan Usahawan Rusia serta Konfederasi Industri India turut memeterai memorandum persefahaman, manakala Pusat Eksport Rusia menandatangani memorandum dan perjanjian kerjasama dengan Invest India, agensi promosi pelaburan kebangsaan negara itu.

Selain itu, Pusat Eksport Rusia turut menandatangani memorandum berasingan dengan Persekutuan Organisasi Eksport India, manakala Yayasan Roscongress Rusia menandatangani perjanjian kerjasama dengan Dewan Perniagaan dan Industri Bersekutu India serta Konfederasi Industri India.

Muzium Simpanan Sejarah, Seni Bina, Seni dan Landskap Negeri Tsaritsyno di Moscow dan Muzium Kraf Kebangsaan & Akademi Hastkala di New Delhi bersetuju mengenai syarat penganjuran, pelaksanaan dan peminjaman pameran berfokuskan budaya bertajuk “India. Fabric of Time”.

Kedua-dua pihak bertukar dokumen semasa rundingan di New Delhi.
 
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita