Skip to main content

Dunia

Rusia fail rayuan terhadap Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung keputusan insiden MH17

Anggaran Waktu Membaca:
Rusia fail rayuan terhadap Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung keputusan insiden MH17

Rusia fail rayuan ke ICJ berhubung keputusan insiden MH17. (Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 20 Sep 2025 03:12PM Dikemas Kini : 20 Sep 2025 03:13PM

THE HAGUE: Rusia memfailkan rayuan rasmi kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi mencabar keputusan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang menyalahkan Mosko atas insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Rusia, Mosko menegaskan bahawa keputusan ICAO adalah tidak berasas dari segi fakta dan undang-undang serta melanggar Konvensyen Chicago 1944 yang mentadbir penerbangan awam antarabangsa.

Rusia turut mendakwa bahawa konvensyen tersebut tidak terpakai dalam situasi konflik bersenjata dan bahawa bukti yang dikemukakan oleh pihak penyiasat mengabaikan maklumat yang disediakan oleh Rusia sendiri.

Rayuan tersebut difailkan selepas ICAO, buat pertama kali dalam sejarahnya, memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab atas insiden MH17 yang mengorbankan 298 nyawa, termasuk 43 rakyat Malaysia

Keputusan ICAO itu adalah susulan siasatan antarabangsa yang diketuai Belanda, yang mendapati pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh menggunakan sistem peluru berpandu Buk buatan Rusia dari kawasan yang dikuasai oleh puak pemisah pro-Rusia di Donetsk.

Australia dan Belanda, dua negara yang kehilangan ramai warganegara dalam tragedi tersebut, memulakan tindakan undang-undang terhadap Rusia di ICAO pada tahun 2022.

Kedua-dua negara itu menuntut agar Rusia bertanggungjawab dan membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa.

Rusia menegaskan bahawa rayuan ke ICJ tidak bermaksud pengiktirafan terhadap keputusan ICAO, dan berharap mahkamah akan mengambil pendirian yang benar-benar bebas dan tidak berat sebelah dalam kes berprofil tinggi itu.

Sumber : Reuters/HZ/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita