Rusia bina jambatan jalan raya ke Korea Utara
Rusia dan Korea Utara pada Rabu (30 Apr) memulakan pembinaan sebatang jambatan jalan raya yang akan merentasi Sungai Tumen, sebagai sebahagian usaha untuk mengukuhkan perkongsian strategik antara kedua-dua negara, menurut Perdana Menteri Rusia.

Bendera Rusia dan Korea Utara berkibar di Kosmodrom Vostochny di Rusia pada 13 September 2023. (Gambar fail: REUTERS/Sputnik, Artem Geodakyan)
Jambatan itu dibina berhampiran dengan "Jambatan Persahabatan", sebuah jambatan kereta api yang mula digunakan pada 1959 selepas Perang Korea.
Dalam satu majlis sempena permulaan pembinaan jambatan baharu itu, Perdana Menteri Rusia Mikhail Mishustin berkata ia adalah satu peristiwa penting dalam hubungan Rusia-Korea Utara, lapor agensi berita negara Rusia, TASS.
“Kepentingannya jauh melangkaui satu tugas kejuruteraan sahaja,” kata Encik Mishustin. “Ia melambangkan hasrat bersama kami untuk mengukuhkan hubungan mesra sesama negara jiran dan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua wilayah.”
Jambatan baharu itu, yang berukuran 850 meter panjang dan disambungkan kepada sistem lebuh raya Rusia, telah dirundingkan sejak bertahun-tahun lalu.
Pembinaannya dipersetujui semasa lawatan Presiden Vladimir Putin ke Korea Utara pada 2024.
Akhbar Rusia, Kommersant, melaporkan bahawa jambatan itu dijangka siap menjelang musim panas 2026.
Encik Mishustin turut mengatakan bahawa jambatan tersebut "akan membolehkan para usahawan meningkatkan jumlah pengangkutan dengan ketara dan mengurangkan kos penghantaran, sambil memastikan bekalan yang andal dan stabil bagi pelbagai produk, yang akan menyumbang kepada peluasan kerjasama dari segi perdagangan dan ekonomi", lapor agensi berita TASS.
Sementara itu, berdasarkan maklumat daripada agensi perisikan Korea Selatan, sekitar 600 tentera Korea Utara dilaporkan terkorban ketika bertempur menentang Ukraine bagi pihak Rusia. Seramai 15,000 askar Korea Utara dikerahkan secara keseluruhan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.