Rusia beri amaran: Jangan bentuk pakatan keselamatan sasar Korea Utara
Menteri Luar Rusia pada Sabtu (12 Jul) memberi amaran kepada Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun agar tidak membentuk kerjasama keselamatan yang menyasarkan Korea Utara, sedang beliau melawat sekutu negaranya itu bagi mengadakan rundingan bagi mengukuhkan lagi kerjasama yang semakin berkembang antara kedua-dua negara dalam bidang ketenteraan dan lain-lain.
Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov berjabat tangan dengan pegawai Korea Utara sebaik tiba di sebuah lapangan terbang di luar Pyongyang pada 11 Jul 2025. (Gambar: Perkhidmatan Media Kementerian Luar Rusia melalui AP)
Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov, tiba di bandar Wonsan di timur Korea Utara pada Jumaat untuk bertemu dengan rakan sejawatannya dari Korea Utara, Choe Son Hui.
Hubungan antara Rusia dengan Korea Utara semakin kukuh dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan Korea Utara membekalkan tentera dan peluru untuk menyokong perang Rusia di Ukraine, sebagai balasan terhadap bantuan ketenteraan dan ekonomi yang dihulurkan.
Perkara itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan Korea Selatan, Amerika Syarikat dan negara lain bahawa Rusia mungkin turut memindahkan teknologi sensitif kepada Korea Utara yang boleh meningkatkan ancaman program nuklear dan peluru berpandunya.
Selepas pertemuannya dengan Cik Choe pada Sabtu, Encik Lavrov menuduh Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun melakukan apa yang beliau sifatkan sebagai peningkatan ketenteraan di sekitar Korea Utara.
“Kami memberi amaran agar hubungan ini tidak dieksploitasikan untuk membina pakatan yang menyasarkan mana-mana pihak, termasuk Korea Utara, dan tentunya, Rusia,” katanya kepada wartawan, menurut agensi berita negara Rusia, Tass.
Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun giat memperluas atau memulihkan latihan ketenteraan tiga hala mereka sebagai tindak balas terhadap kemajuan program nuklear Korea Utara.
Pada Jumaat, ketiga-tiga negara itu mengadakan latihan udara bersama yang melibatkan pengebom Amerika Syarikat yang berupaya membawa senjata nuklear berhampiran Semenanjung Korea, sedang pegawai tentera tertinggi mereka bermesyuarat di Seoul dan menggesa Korea Utara untuk menghentikan semua aktiviti haram yang mengancam keselamatan serantau.
Korea Utara menganggap latihan ketenteraan berskala besar yang diketuai Amerika Syarikat sebagai latihan untuk melakukan pencerobohan. Negara itu sejak sekian lama berhujah bahawa ia terpaksa membangunkan senjata nuklear bagi mempertahankan diri daripada ancaman ketenteraan Amerika Syarikat.
Encik Lavrov turut berkata bahawa Rusia memahami keputusan Korea Utara untuk memiliki senjata nuklear.
"Teknologi yang digunakan oleh Korea Utara adalah hasil kerja saintis mereka sendiri. Kami menghormati aspirasi Korea Utara dan memahami sebab-sebab mengapa ia mengejar pembangunan nuklear," kata Encik Lavrov.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.