Rusia adakan latihan nuklear selepas sidang puncak Putin-Trump ditangguh
Presiden Donald Trump berjabat tangan dengan Presiden Vladimir Putin di, Alaska, Amerika Syarikat, 15 Ogos 2025. (Gambar: Reuters/Kevin Lamarque)
Kremlin mengeluarkan rakaman yang menunjukkan Jeneral Valery Gerasimov, Ketua Staf Am, melaporkan kepada Encik Putin mengenai latihan tersebut. Rusia menyatakan ia melancarkan peluru berpandu dari pelancar darat, kapal selam dan pesawat, termasuk senjata balistik rentas benua yang berupaya sampai ke Amerika Syarikat.
Bagi menunjukkan kekuatannya, Kementerian Pertahanan Rusia menyatakan pesawat pengebom strategik jarak jauh Tu-22M3 terbang di ruang udara Laut Baltik.
Pada saat-saat penting dalam perang di Ukraine, Encik Putin sering mengeluarkan peringatan tentang kekuatan kuasa nuklear Rusia sebagai amaran kepada Kyiv dan sekutu-sekutunya di Barat. NATO juga menjalankan latihan pencegahan nuklear pada bulan ini.
UKRAINE AKAN BELI JET GRIPEN SWEDEN
Dalam satu perkembangan berasingan, Sweden menyatakan ia sudah menandatangani surat niat untuk mengeksport jet pejuang Gripen ke Ukraine, sedang negara-negara Eropah meningkatkan pertahanan Kyiv selepas lebih tiga tahun berperang.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mengumumkan semasa lawatan ke firma pertahanan Sweden, Saab, bahawa Kyiv merancang untuk memperoleh sekurang-kurangnya 100 jet Gripen, dengan penghantaran pertama dijangkakan pada tahun depan.
"Kami sudah memulakan kerja untuk mendapatkan Gripen... dan menjangkakan kontrak masa depan akan membolehkan kami memperoleh tidak kurang daripada 100 jet tersebut," kata Encik Zelenskyy. Juruterbang Ukraine sudahpun menguji pesawat itu di Sweden.
SIDANG PUNCAK DITANGGUH DI TENGAH KEBUNTUAN RUNDINGAN DAMAI
Selepas diplomasi terhenti selama beberapa bulan, Encik Putin dan Encik Trump bersetuju minggu lalu untuk mengadakan sidang puncak di Hungary, tetapi Rumah Putih pada Selasa menyatakan "tiada rancangan" untuk mengadakan pertemuan sedemikian "dalam masa terdekat."
Encik Trump berkata beliau tidak mahu "pertemuan yang sia-sia", sentimen yang diulangi oleh Kremlin, yang menyatakan persiapan serius masih diperlukan. "Tarikh belum ditetapkan lagi, tetapi persiapan rapi diperlukan sebelum itu, dan ia memerlukan masa," kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov.
Seorang pegawai Amerika Syarikat menambah bahawa sidang puncak itu tidak dibatalkan tetapi tumpuan Washington kini adalah pada lawatan Encik Trump ke Asia.
Penangguhan itu berlaku selepas Rusia menekankan sekali lagi syarat damai sebelum ini, termasuk tuntutan agar Ukraine menyerahkan kawalan penuh wilayah Donbas di tenggara negara itu. Tuntutan itu secara tidak langsung menolak seruan Encik Trump agar kedua-dua pihak berhenti bertempur.
Timbalan Menteri Luar Rusia, Sergei Ryabkov, berkata beliau tidak dapat mengesahkan laporan bahawa Mosko sudah menyampaikan kedudukan ini secara rasmi tetapi menekankan bahawa "persiapan untuk sidang puncak diteruskan."
RUTTE YAKIN AKAN ADA PERJANJIAN
Setiausaha Agung NATO Mark Rutte, berkata menjelang pertemuan dengan Encik Trump lewat Rabu bahawa beliau "agak yakin" bahawa perjanjian untuk menamatkan perang akhirnya boleh dicapai.
Bercakap kepada wartawan di Senat Amerika Syarikat selepas bertemu dengan penggubal undang-undang, Encik Rutte berkata beliau mempunyai "keyakinan penuh" terhadap Encik Trump yang "mempunyai visi yang jelas untuk membawa perang ini ke pengakhiran yang berkekalan dan berpanjangan."
Encik Rutte bagaimanapun enggan mengulas mengenai prospek sidang puncak Trump-Putin tetapi berkata sekutu-sekutu Amerika "bekerja keras" ke arah inisiatif Encik Trump untuk meminta mereka membelikan senjata untuk Ukraine.
Beliau memuji Encik Trump kerana membantu menjamin gencatan senjata Gaza dan berkata Encik Trump mahu melakukan perkara yang sama dengan Ukraine. "Saya tidak dapat meramalkan dengan tepat langkah-langkah apa yang akan berlaku, tetapi jelas ia masih memerlukan banyak perbincangan. Ia tidak akan berakhir esok, tetapi saya agak yakin bahawa kita boleh mencapainya," katanya lagi.
RUSIA DAN UKRAINE SALING BERTEMPUR SEPANJANG MALAM
Ketika usaha diplomatik terhenti, Rusia dan Ukraine saling berbalas tembakan peluru berpandu semalam. Para pegawai Ukraine berkata enam orang, termasuk dua kanak-kanak, terbunuh di Kyiv dan kawasan berhampiran, dan gangguan bekalan elektrik yang meluas dilaporkan di seluruh negara itu.
Tentera Ukraine berkata ia menyerang sebuah loji kimia di wilayah Bryansk, Rusia, menggunakan peluru berpandu Storm Shadow buatan Perancis-Britain.
Menteri Luar Andrii Sybiha, merayu kepada rakan-rakan antarabangsa untuk menyediakan "sokongan tenaga tambahan" bagi mencegah krisis kemanusiaan menjelang musim sejuk.
PEMIMPIN EU BINCANG TINGKAT DANA UNTUK KYIV
Saham syarikat pertahanan Eropah meningkat selepas berita penangguhan sidang puncak itu, mencerminkan jangkaan sokongan ketenteraan berterusan untuk Ukraine.
Para pemimpin EU dijadual bertemu pada Khamis untuk membincangkan penggunaan aset Rusia yang dibekukan untuk membiayai pinjaman AS$163 bilion (S$212 bilion) kepada Ukraine. Mosko mengutuk rancangan itu sebagai satu pencurian dan berikrar akan bertindak balas.
Seorang pegawai kanan Ukraine memberitahu Reuters bahawa Kyiv mesti mempunyai kebebasan untuk memutuskan cara menggunakan dana itu, tanpa sekatan yang menghadkan pembelian senjata Eropah.
Encik Zelenskyy mengulangi bahawa "kata-kata Rusia tentang diplomasi tidak bermakna sama sekali" melainkan disokong oleh tindakan. "Hanya sekatan, keupayaan jarak jauh, dan diplomasi yang diselaraskan dalam kalangan semua rakan kongsi kami yang dapat menjamin keamanan," katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.