Runtuhan salji Nanda Devi: 4 pendaki warga Britain diselamatkan, 8 masih hilang
Empat pendaki Britain berjaya diselamatkan dari runtuhan salji di kawasan pergunungan Banjaran Himalaya, menurut pihak berkuasa India hari ini (2 Jun).
Empat pendaki Britain berjaya diselamatkan dari runtuhan salji di kawasan pergunungan Banjaran Himalaya. (Gambar: Moran Mountain/Facebook)
NEW DELHI: Empat pendaki Britain berjaya diselamatkan dari runtuhan salji di kawasan pergunungan Banjaran Himalaya, menurut pihak berkuasa India hari ini (2 Jun). Dalam pada itu usaha masih giat dilakukan bagi mengesan lapan pendaki yang masih hilang.
Helikopter penyelamat digunakan untuk menerbangkan kumpulan pendaki itu ke kawasan selamat selepas dikesan awal pagi tadi di kem pangkalan berhampiran gunung kedua tertinggi India, Nanda Devi yang setinggi 7,826 meter.
Puluhan pekerja penyelamat meneroka setiap pelusuk gunung menggunakan dua helikopter dan laluan darat bagi meneruskan misi menyelamat yang memasuki hari kedua selepas tergendala akibat cuaca buruk semalam (1 Jun).
Kesemua lapan pendaki itu, empat warga Britain, dua warga Amerika, seorang wanita warga Australia dan warga India dijadualkan mendaki ke puncak Nanda Devi, yang disenaraikan sebagai gunung ke-23 tertinggi dunia.
Menurut pihak berkuasa, empat pendaki yang berjaya diselamatkan itu bukan daripada kumpulan yang dilaporkan hilang namun pernah berhubung dengan kesemua mangsa sehingga 26 Mei, sehari sebelum runtuhan salji berlaku di gunung berkenaan.
“Mereka mendaki secara berasingan namun saling berhubung dengan kumpulan yang hilang itu. Salji tebal dan cuaca buruk menyebabkan mereka terkandas di kem pangkalan," menurut ketua polis daerah Pithoragarh, Encik R.C Rajguru.
Beliau berkata, tiada maklumat terkini diperoleh setakat ini berhubung lokasi atau status keselamatan mereka sejak memulakan pendakian pada 13 Mei lalu.
Kumpulan berkenaan diketuai pendaki warga Britain, Encik Martin Moran yang sudah sampai ke puncak Nanda Devi sebanyak dua kali sebelum ini dan pada awalnya dijadualkan mendaki gunung berkenaan, sebelum mengubah destinasi ke gunung lain.
Mereka sepatutnya melaporkan diri di kem pangkalan Munsiyari pada 26 Mei namun seorang pembantu di pangkalan kem itu melaporkan bahawa kumpulan berkenaan gagal dikesan pada 31 Mei, menyebabkan operasi mencari segera dilancarkan.
Ratusan pendaki seluruh dunia mengunjungi India setiap tahun untuk mendaki gunung merentasi banjaran Himalaya.
India mempunyai 10 puncak gunung dengan ketinggian melebihi 7,000 meter termasuk Kangchenjunga iaitu gunung ketiga tertinggi di dunia, terletak antara India dengan Nepal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.