Skip to main content

Dunia

Runtuhan pesantren Indonesia: Pasukan menyelamat beralih ke fasa operasi seterusnya

Pasukan menyelamat memutuskan untuk beralih ke fasa operasi seterusnya, selepas melaporkan tiada tanda-tanda mangsa masih hidup dikesan di bawah runtuhan bangunan Pondok Pesantren Al Khoziny, yang roboh di Jawa Timur.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Oct 2025 10:52PM
SIDOARJO: Pasukan menyelamat memutuskan untuk beralih ke fasa operasi seterusnya, selepas melaporkan tiada tanda-tanda mangsa masih hidup dikesan di bawah runtuhan bangunan Pondok Pesantren Al Khoziny, yang roboh di Jawa Timur.

Pasukan menyelamat sudah mula menggunakan kren untuk mengangkat serpihan konkrit di bangunan pesantren yang runtuh di Sidoarjo, dengan 30 ambulans bersiap sedia.

Operasi menjadi rumit selepas gempa bumi berukuran 6.5 magnitud melanda kira-kira 200 kilometer dari lokasi nahas.

Para petugas melaporkan bahawa setakat ini, 108 santri sudah berjaya ditemukan, namun lima daripada mereka terkorban.

Usaha mencari dan menyelamat amat sukar, melibatkan gabungan lebih 300 petugas yang bekerja 24 jam, siang dan malam tanpa henti.

Tambah mereka, setakat ini, apa yang dilaporkan pihak pengurus pesantren, lebih daripada 50 santri masih belum dapat dikesan.

Lantas, apa yang sedang dilakukan, adalah mengambil sampel DNA daripada para ibu bapa dan anggota keluarga yang sudah tiba di tempat kejadian.

"Tapi saya harus yakin yang anak saya masih hidup. Anak saya kuat, kuat anak saya, harus yakin. Pasukan SAR (mencari dan menyelamat) sudah berusaha untuk menolong anak-anak kita, supaya anak-anak kita yang hidup itu boleh diselamatkan," kata seorang ahli keluarga mangsa.

Meskipun mereka berharap mangsa-mangsa yang hilang masih dapat ditemukan dengan selamat, atau jumlah yang terperangkap di bawah runtuhan adalah jauh lebih kecil - semua pihak harus bersedia untuk setiap kemungkinan, termasuk senario paling buruk.

Jadi apa yang pihak berkuasa lakukan dengan mengumpulkan semua DNA adalah - sekiranya jenazah ditemukan di bawah runtuhan, mereka dapat memadankan identiti jenazah itu dengan sampel DNA yang ada, dan menyerahkan jenazah tersebut kepada pihak keluarga.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita