Rundingan Rusia-Ukraine di Turki tamat dalam masa 2 jam
Delegasi Ukraine dan Rusia menghadiri rundingan di Istana Dolmabache di Istanbul, Turki pada 16 Mei 2025. (Gambar: Ramil Sitdikov, Sputnik Pool Photo via AP)
Delegasi dari kedua-dua pihak bertemu di Turki pada Jumaat (16 Mei), dalam pertemuan bersemuka pertama mereka sejak Mac 2022, iaitu sebulan selepas Rusia menyerang negara jirannya itu.
Jurang antara kedua-dua pihak amat ketara, menurut sumber Ukraine itu yang memberitahu Reuters bahawa tuntutan Rusia "terpisah daripada kenyataan dan melampaui apa-apa yang telah dibincangkan sebelum ini".
Ia termasuk "syarat-syarat dan isu-isu yang tidak membina," kata sumber rahsia itu kepada Reuters.
Tiada ulasan langsung dari pihak Rusia.
Jangkaan untuk mencapai satu kejayaan besar dalam rundingan itu semakin tipis pada Khamis apabila Presiden Donald Trump mengumumkan, tiada kemajuan akan dicapai tanpa pertemuan antara beliau dengan Presiden Rusia Vladimir Putin. Encik Trump berkata demikian pada akhir rangka lawatannya ke Timur Tengah.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy pula berkata keutamaan Kyiv ialah mencapai "gencatan senjata menyeluruh, yang jujur, tanpa syarat ... untuk menghentikan pembunuhan dan membina asas kukuh untuk diplomasi". Beliau berkata jika Rusia enggan melakukannya, sekatan baharu harus dikenakan terhadap sektor tenaga dan bank Rusia.
Rusia memgatakan ia mahu menamatkan peperangan itu dengan cara diplomatik dan bersedia untuk membincangkan gencatan senjata. Tetapi ia telah menimbulkan satu senarai soalan dan kebimbangannya, sambil mengatakan Ukraine boleh menggunakan tempoh gencatan itu untuk menyegarkan pasukannya, mengerahkan askar tambahan dan memperoleh lebih banyak senjata dari negara-negara Barat.
Ukraine dan sekutu-sekutunya pula menuduh Encik Putin sengaja melengah-lengahkan usaha damai itu, dan menuduh beliau tidak serius untuk mencapai keamanan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.