Skip to main content

Dunia

Rundingan perjanjian pengakuan bersalah kes penipuan kripto libatkan warga SG di Amerika diteruskan

Satu perjanjian pengakuan bersalah berkemungkinan berlaku dalam masa terdekat ini bagi warga Singapura, Malone Lam, yang dituduh mengetuai sindiket jenayah yang mencuri mata wang kripto bernilai ratusan juta dolar di Amerika Syarikat.
Anggaran Waktu Membaca:
Rundingan perjanjian pengakuan bersalah kes penipuan kripto libatkan warga SG di Amerika diteruskan
Malone Lam, warga Singapura berusia 20 tahun yang menetap di Miami dan Los Angeles, merupakan antara dua individu yang didakwa atas konspirasi mencuri dan mengubah wang mata wang kripto bernilai AS$230 juta (S$296.98 juta) pada 19 September 2024. (Gambar: Pejabat Sheriff Broward)
Diterbitkan : 18 Dec 2025 10:38AM
  • Satu perjanjian pengakuan bersalah berkemungkinan berlaku dalam masa terdekat ini bagi warga Singapura, Malone Lam, yang dituduh mengetuai sindiket jenayah yang mencuri mata wang kripto bernilai ratusan juta dolar di Amerika Syarikat.
  • Jabatan Kehakiman menuduh Nicholas Dellecave, Mustafa Ibrahim dan Danish Zulfiqar atas konspirasi RICO atas peranan mereka dalam operasi tersebut, yang didakwa melibatkan penggodaman pangkalan data dan pengubahan mata wang kripto.
  • Pendakwa raya mendakwa Lam dan beberapa rakan subahatnya membentuk “Perusahaan Kejuruteraan Sosial” pada akhir 2023, yang bermula daripada persahabatan yang terjalin di platform permainan online.
  • Pendakwa raya mendakwa sindiket itu mencuri lebih AS$265 juta (S$342.17 juta) dalam bentuk mata wang kripto dan membelanjakan jumlah yang besar untuk menyewa jet peribadi, rumah mewah, kereta eksotik dan khidmat kelab malam yang mencecah lebih AS$4 juta (S$5.16 juta).
Dijana oleh AI
WASHINGTON: Satu perjanjian pengakuan bersalah berkemungkinan berlaku dalam masa terdekat ini bagi warga Singapura, Malone Lam, yang dituduh mengetuai sindiket jenayah yang mencuri mata wang kripto bernilai ratusan juta dolar di Amerika Syarikat.

Dalam satu sesi pendengaran status kes di mahkamah persekutuan Washington DC pada Rabu (17 Dis), peguam Lam, John Patrick Pierce, berkata rundingan dengan pihak pemerintah masih berjalan.

“Kami mahu berusaha sebaik mungkin untuk mencapai penyelesaian, dan saya percaya Encik Hart dan saya boleh melaksanakannya dengan niat yang baik,” kata Encik Pierce, merujuk kepada Penolong Pendakwa Raya Amerika Syarikat, William Hart.

Satu usul difailkan sehari sebelum pendengaran Lam supaya Encik Hart menggantikan Penolong Pendakwa Raya Amerika Syarikat, Kevin Rosenberg, yang mengetuai kes besar itu sejak awal lagi.

Butiran tawaran baharu bagi perjanjian pengakuan bersalah yang dikemukakan pemerintah pada pertengahan November lalu tidak didedahkan.

Namun kedua-dua pihak bersetuju untuk kembali ke mahkamah pada 12 Januari 2026 pukul 9.30 pagi (pukul 10.30 malam waktu Singapura) untuk memberikan perkembangan berhubung rundingan perjanjian tersebut.

Sementara itu, Encik Pierce berkata beliau akan meneruskan usaha untuk mendapatkan komputer yang diluluskan mahkamah supaya Lam dapat meneliti jumlah bukti yang "sangat besar" dalam kes berkenaan.

Sejak pendengaran status Lam pada November lalu, mahkamah sudah mendedahkan Akta Dakwaan Tambahan Kedua, yang mendakwa tiga lagi individu dalam operasi jenayah itu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 17 orang.

Jabatan Kehakiman menuduh Nicholas Dellecave, Mustafa Ibrahim dan Danish Zulfiqar atas konspirasi RICO atas peranan mereka dalam operasi tersebut, yang didakwa melibatkan penggodaman pangkalan data dan pengubahan mata wang kripto.

Dellecave ditahan di Miami pada 3 Disember 2025, sementara Zulfiqar dan Ibrahim baru-baru ini ditahan di Dubai atas tuduhan berkaitan, menurut DOJ.

Akta Dakwaan Tambahan Kedua itu mendakwa Lam, Danish dan individu lain bekerjasama dalam rompakan paling berani sindiket itu: mencuri lebih 4,100 Bitcoin daripada seorang mangsa di Washington pada Ogos 2024.

Ketika itu, Bitcoin tersebut bernilai lebih AS$230 juta (S$296.98 juta). Minggu ini, nilai itu sudah melebihi AS$350 juta (S$451.92 juta).

Selepas kecurian itu, Jabatan Kehakiman mendakwa Lam dan “rakan subahatnya membelanjakan lebih AS$4 juta (S$5.16 juta) dalam mata wang maya yang dicurinya di kelab malam Los Angeles”.

Pendakwa raya mendakwa Lam dan beberapa rakan subahatnya membentuk “Perusahaan Kejuruteraan Sosial” pada akhir 2023, yang bermula daripada persahabatan yang terjalin di platform permainan online.

Menurut pendakwa raya, mereka mengenal pasti individu yang memiliki jumlah mata wang kripto yang besar, kemudian memperdayakan mereka agar menyerahkan kata laluan akaun, kekunci peribadi dan frasa "seed" dengan menyamar sebagai ejen sokongan Google atau bursa mata wang kripto.

Dengan maklumat tersebut, Lam dan rakan-rakan subahatnya didakwa mengakses akaun mangsa, mencuri mata wang maya mereka, mengubahnya melalui bursa luar pesisir, sebelum menukarnya kepada wang tunai.

Pendakwa raya mendakwa sindiket itu mencuri lebih AS$265 juta (S$342.17 juta) dalam bentuk mata wang kripto dan membelanjakan jumlah yang besar untuk menyewa jet peribadi, rumah mewah, kereta eksotik dan khidmat kelab malam yang mencecah lebih AS$4 juta (S$5.16 juta).

Sembilan rakan subahat Lam sudah mengaku bersalah dalam kes terbabit, termasuk yang terkini Evan Tangeman, 22 tahun, dari Newport Beach, California, yang mengakui membantu mengubah sekurang-kurangnya AS$3.5 juta (S$4.52 juta) untuk kumpulan itu.

Rakan subahat berkenaan boleh menjadi saksi terhadap Lam jika kesnya dibicarakan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita