Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rundingan perjanjian gencatan senjata Gaza semakin hampir selesai

Para perunding semakin hampir selesai melakarkan butiran akhir gencatan senjata di Gaza pada Rabu (14 Jan) selepas mengadakan rundingan terus-menerus di Qatar.

Anggaran Waktu Membaca:
Rundingan perjanjian gencatan senjata Gaza semakin hampir selesai

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 15 Jan 2025 10:13AM Dikemas Kini : 15 Jan 2025 10:14AM
DOHA: Para perunding semakin hampir selesai melakarkan butiran akhir gencatan senjata di Gaza pada Rabu (14 Jan) selepas mengadakan rundingan terus-menerus di Qatar.

Para pemimpin Amerika Syarikat dan Mesir turut berjanji untuk terus berhubungan rapat mengenai perjanjian itu selama tempoh beberapa jam akan datang.

Rundingan terus-menerus selama lapan jam di Doha itu telah meningkatkan semangat positif dalam kalangan perunding.

Para pegawai dari kumpulan perunding Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat serta Israel dan Hamas menyatakan perjanjian gencatan senjata di Gaza dan pelepasan tebusan hampir dapat dicapai.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar Majed Al-Ansari berkata dalam satu sidang media sebelum ini bahawa kedua-dua pihak telah dibentangkan dengan teks dan rundingan mengenai butiran akhir sedang dijalankan.

Namun seorang pegawai kanan Hamas memberitahu Reuters pada lewat Selasa bahawa Hamas belum menerima sebarang repons sejauh ini kerana ia masih menunggu Israel menyerahkan peta bagi menunjukkan bagaimana tentera Israel akan berundur dari Gaza.

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, di mana pentadbirannya telah menyertai rundingan itu bersama utusan Presiden dilantik Donald Trump, berkata perjanjian itu semakin hampir dapat dicapai.

Presiden Biden dan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi juga berbincang mengenai perkembangan rundingan itu pada Selasa (14 Jan).

"Kedua-dua pemimpin komited untuk teruskan dengan usaha penyelarasan rapat dan bersama pasukan masing-masing dalam masa beberapa jam akan datang," menurut Rumah Putih dalam satu kenyataan selepas kedua-dua pemimpin itu membuat panggilan telefon.

Kedua-dua Presiden juga "menekankan keperluan segera bagi perjanjian itu dilaksanakan."

Hamas menyatakan rundingan itu telah tiba di langkah-langkah akhir dan ia berharap pusingan rundingan kali ini akan mencapai perjanjian.

Seorang pegawai Israel berkata rundingan itu telah tiba di fasa kritikal walaupun beberapa butiran masih perlu dibincangkan: "Kami semakin hampir, tetapi belum lagi di penghujungnya."
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan