Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rundingan 'membina' Theresa May dengan pembangkang bagi lerai isu Brexit

Perdana Menteri Theresa May mengadakan perbincangan "membina" pada Rabu (3 Apr) dengan pemimpin pembangkang Britain sebagai sebahagian usaha mencapai kompromi berhubung Brexit untuk mengelakkan perpisahan "tanpa perjanjian" dari Kesatuan Eropah (EU) dalam masa sembilan hari.

Anggaran Waktu Membaca:
Rundingan 'membina' Theresa May dengan pembangkang bagi lerai isu Brexit

Ketua pembangkang (kiri) Jeremy Corbyn dan PM UK Theresa May (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 04 Apr 2019 09:15AM Dikemas Kini : 04 Apr 2019 09:20AM

LONDON: Perdana Menteri Theresa May mengadakan perbincangan "membina" pada Rabu (3 Apr) dengan pemimpin pembangkang Britain sebagai sebahagian usaha mencapai kompromi berhubung Brexit untuk mengelakkan perpisahan "tanpa perjanjian" dari Kesatuan Eropah (EU) dalam masa sembilan hari.

PM May mengubah strategi tegasnya sebelum ini dan cuba mendapatkan sokongan ketua Parti Buruh Jeremy Corbyn dalam satu langkah luar biasa pada saat-saat akhir yang mungkin menentukan nasib negara dan pemerintahan yang diterajuinya.

Perjanjian perpisahan yang dipersetujui Cik May dengan 27 negara anggota EU ditolak sebanyak tiga kali oleh parlimen, menyebabkan Brussels semakin hilang sabar sedang tarikh akhir 12 April bagi perpisahan Britain semakin hampir, namun tiada kata sepakat dapat dicapai.

PM May pada Selasa berkata beliau akan meminta "sedikit" lanjutan pada tempoh Brexit semasa satu sidang puncak bersama para pemimpin EU di Brussels pada 10 April.

Menurut Cik May, beliau bersedia untuk bertolak ansur berhubung prinsip-prinsip sebelum ini dan akan mempertimbangkan saranan bagi hubungan perdagangan yang lebih rapat selepas Brexit berbanding apa yang diinginkan oleh Parti Konservatif yang dipimpinnya.

Kedua-dua pihak menyifatkan perbincangan pada Rabu sebagai masih di peringkat awal tetapi membina.

"Perbincangan hari ini konstruktif, dengan kedua-dua pihak menunjukkan sikap tolak ansur dan komitmen untuk menamatkab ketidaktentuan berhubung Brexit," menurut seorang jurucakap Downing Street.

"Kami mempersetujui satu program kerja untuk memastikan kami memenuhi kemahuan warga Britain, melindungi pekerjaan dan keselamatan."

Encik Corbyn berkata: "Perubahan tidak sebanyak yang saya jangkakan namun kami akan berbincang lebih lanjut esok untuk meneroka isu-isu teknikal."

Perubahan pada taktik PM Britain itu turut diperhatikan dengan waspada oleh para pemimpin EU yang inginkan isu Brexit dihuraikan sebelum pilihan raya Parlimen Eropah menjelang hujung Mei.

Bagaimanapun keputusan Cik May untuk menimbangkan tuntutan Encik Corbyn untuk mengekalkan sistem kastam bersama EU, mencetuskan kemarahan penyokong tegar Brexit dalam Parti Konservatif.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan