Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rundingan gencatan senjata di Sudan dilaporkan capai kemajuan

Anggaran Waktu Membaca:
Rundingan gencatan senjata di Sudan dilaporkan capai kemajuan

Asap berkepul-kepul di atas bangunan di Khartoum pada 1 Mei 2023 sedang pertempuran antara tentera Sudan dan cabang separa tentera, Rapid Support Forces (RSF), memasuki minggu ketiga. (Gambar: AFP)

DUBAI: Keadaan di ibu kota Sudan bertambah buruk pada Rabu (10 Mei) dengan serangan udara dan pertempuran sengit. Namun puak-puak tentera yang berbalah dilaporkan hampir mencapai persetujuan bagi genjatan senjata dalam rundingan yang diadakan di Arab Saudi.

Para penduduk melaporkan pertempuran di beberapa kawasan kejiranan di Khartoum antara pihak tentera dan Kumpulan Separa Tentera (RSF), serta serangan tembak di kawasan utara Omdurman dan timur Bahri, iaitu dua bandar bersebelahan yang dipisahkan dari Khartoum oleh Sungai Nil.

Tentera Sudan membedil sasaran-sasarannya di ketiga-tiga bandar tersebut sejak Selasa (9 Mei) sedang ia cuba untuk menghalau pasukan RSF yang menguasai sebahagian besar kawasan kediaman serta tapak-tapak strategik sejak konflik yang tercetus pada 15 April.

Wakil-wakil tentera Sudan dan RSF sudah bertemu sejak hujung minggu lalu dalam rundingan yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi di bandar Jeddah, di Laut Merah.

Rundingan tesebut bertujuan untuk melaksanakan gencatan senjata yang berkesan dan membenarkan akses kepada pekerja bantuan serta bekalan selepas beberapa pengumuman gencatan senjata sebelum ini gagal untuk menamatkan pertempuran.

Selepas beberapa hari keadaan kelihatan seperti tidak berubah, satu sumber pengantaraan memberitahu Reuters pada Rabu (10 Mei) bahawa rundingan tersebut sudah mencatatkan kemajuan dan satu perjanjian gencatan senjata dijangka dipersetujui tidak lama lagi.

Setiausaha Rendah Negara AS Victoria Nuland sebelum ini berkata bahawa para perunding AS "optimis namun berhati-hati" tentang mendapatkan komitmen terhadap prinsip-prinsip kemanusiaan dan gencatan senjata.

Namun, mereka juga sedang melihat sasaran yang sesuai untuk dikenakan sekatan sekiranya kumpulan-kumpulan tentera yang berbalah itu tidak menyokong rundingan tersebut.


 
Sumber : Reuters/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan