Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rundingan antara kementerian tinjau potensi perubatan ganja & ketum, kata DPM M'sia

Kementerian Peladangan dan Komoditi Malaysia sedang melihat potensi perubatan yang ada dalam tanaman kanabis dan ketum, kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia Fadillah Yusof.

Anggaran Waktu Membaca:
Rundingan antara kementerian tinjau potensi perubatan ganja & ketum, kata DPM M'sia

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Fadillah Yusof (Gambar: BERNAMA)

KOTA BHARU: Kementerian Peladangan dan Komoditi Malaysia sedang melihat potensi perubatan yang ada dalam tanaman kanabis dan ketum, kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia Fadillah Yusof.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Peladangan dan Komoditi berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melihat kaedah penanaman dan proses penghasilan produk yang terkawal, sekiranya ia dibenarkan untuk ditanam bagi tujuan perubatan di negara ini.  

Katanya, pembentangan mengenai potensi tumbuhan tersebut juga sudah diberikan oleh beberapa pemain industri dan persatuan yang berkaitan dengan kanabis dan ganja.

"Amerika Syarikat, Belanda dan kini Thailand aktif dengan industri tersebut, tetapi di Malaysia, disebabkan ia adalah barang di bawah kawalan kita kena bincang dengan Kementerian Kesihatan bagaimana nak jadikan produk ini boleh ditanam, diproses dan dijual hasilannya dalam keadaan terkawal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Taklimat Pembangunan Industri Kenaf dan Kawal Selia Industri Tembakau, di Ibu Pejabat Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) hari ini (30 Jan).

Hadir sama timbalannya Siti Aminah Aching, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi Abdul Hadi Omar dan Ketua Pengarah LKTN Idris Mohd Salleh.

Mengulas lanjut, Encik Fadillah berkata ketika ini persepsi masyarakat mengenai kanabis agak berat. 

“Bila kanabis persepsinya agak berat, sebab itu kita perlu uruskan dan hasilkan dalam keadaan terkawal iaitu dari segi tanaman, proses dan keseluruhannya (mempunyai) nilai perubatan termasuk hasilan seperti minyak bagi tujuan eksport.

“Saya akan perincikan perkara ini menerusi perbincangan dengan KKM, pihak industri dan badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat untuk melihat kesesuaian bagaimana kita nak laksanakan kalau ia dibenarkan supaya perspektif negatif itu dapat dikawal,” katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan