Skip to main content

Dunia

Rumah Putih tolak dakwaan Amerika akan hadiri Sidang Puncak G20 di Afrika Selatan

Anggaran Waktu Membaca:
Rumah Putih tolak dakwaan Amerika akan hadiri Sidang Puncak G20 di Afrika Selatan
Seorang individu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa OR Tambo sedang Afrika Selatan bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Sidang Puncak G20 dari 22 hingga 23 November, di Johannesburg, Afrika Selatan, 20 November 2025. (Gambar: REUTERS/Sodiq Adelakun)
New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 21 Nov 2025 08:39AM
JOHANNESBURG: Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa berkata pada Khamis (20 Nov) bahawa Amerika Syarikat telah memberi isyarat bahawa ia mungkin berubah fikiran dan menyertai Sidang Puncak G20 di Johannesburg selepas sidang tersebut diboikot oleh pentadbiran Presiden Donald Trump, tetapi Rumah Putih menolak laporan itu sebagai "berita palsu".

Encik Ramaphosa berkata demikian semasa sidang media bersama Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dan Presiden Majlis Eropah António Costa.

"Kami telah menerima notis daripada Amerika Syarikat, satu notis yang masih dalam perbincangan dengan mereka, tentang perubahan fikiran, tentang penyertaan dalam satu bentuk atau bentuk lain dalam sidang puncak itu," katanya lagi.

"Ini berlaku beberapa hari sebelum sidang puncak itu. Oleh itu, kita perlu terlibat dalam perbincangan seperti itu untuk melihat betapa praktikalnya dan apa sebenarnya maksudnya."

Pentadbiran Presiden Trump telah berkata ia tidak akan menghadiri Sidang Puncak G20 pertama di Afrika, sambil mendakwa bahawa negara tuan rumah, yang sebelum ini diperintah oleh sistem apartheid minoriti kulit putih sehingga 1994, mendiskriminasi orang kulit putih.

Pada Khamis (20 Nov), pegawai Rumah Putih berkata seorang utusan akan menghadiri majlis penyerahan rasmi jawatan Presiden G20 dari Afrika Selatan kepada Amerika Syarikat tetapi tiada persoalan tentang penyertaan Washington.

"Ini adalah berita palsu. Kuasa Usaha di Pretoria akan menghadiri majlis penyerahan sebagai satu formaliti, tetapi Amerika Syarikat tidak akan menyertai perbincangan G20," tambah pegawai tersebut.

Tetapi jurucakap Presiden Afrika Selatan, Vincent Magwenya, berkata "Presiden tidak akan menyerahkannya kepada Kuasa Usaha Amerika."

Encik Trump telah menolak agenda Afrika Selatan untuk Sidang Puncak yang bakal berlandung 22-23 November untuk menggalakkan solidariti dan membantu negara-negara membangun menyesuaikan diri dengan bencana cuaca yang lebih buruk, beralih kepada tenaga bersih dan mengurangkan kos hutang mereka yang berlebihan.

Encik Ramaphosa berkata minggu lalu mengenai penyerahan jawatan Presiden G20 kepada Amerika Syarikat: "Saya tidak mahu menyerahkan jawatan itu kepada kerusi kosong, tetapi kerusi kosong akan berada di sana."
Sumber : Reuters/AW/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita