Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rumah penduduk Muslim Uttar Pradesh dirobohkan susuli tunjuk perasaan

Anggaran Waktu Membaca:
Rumah penduduk Muslim Uttar Pradesh dirobohkan susuli tunjuk perasaan

Rumah ahli politik Javed Ahmed yang sedang dirobohkan pada 12 Jun 2022. (Gambar: Sanjay Kanojia/AFP)

UTTAR PRADESH: Pihak berkuasa di wilayah utara India, Uttar Pradesh, merobohkan rumah milik beberapa penduduk Muslim. Insiden itu dipercayai berhubung kait tunjuk perasaan keagamaan yang bertukar ganas. 

Tunjuk perasaan itu tercetus akibat kenyataan menghina Nabi Muhammad yang dibuat oleh dua bekas pemimpin parti pemerintah Parti Bharatiya Janata (BJP), lapor BBC. 

Tunjuk perasaan di beberapa wilayah berubah menjadi ganas dengan ramai orang memusnahkan harta benda. 

Lebih 300 orang sudah diberkas di Uttar Pradesh. 

Pihak berkuasa tempatan merobohkan tiga buah rumah yang dipercayai dimiliki penduduk Muslim pada hujung minggu lalu dan mendakwa bahawa rumah-rumah itu dibina secara haram. Namun, dakwaan itu dinafikan sesetengah pemilik rumah tersebut. 

Perobohan rumah itu dikecam pemimpin parti pembangkang, yang menuduh pemerintah - yang diketuai Ketua Menteri Yogi Adityanath - menyasarkan masyarakat minoriti Islam. 

Para pengkritik berkata jurang keagamaan semakin mendalam di India sejak 2014 apabila nasionalis Hindu BJP mendapat kuasa. Kenyataan mencetus kebencian dan serangan terhadap masyarakat Islam meningkat secara mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

Dua daripada tiga rumah yang dirobohkan itu dimiliki mereka yang dituduh membuang batu sewaktu solat Jumaat, menurut BBC. 

Rumah ketiga pula dimiliki ahli politik, Javed Ahmed, yang dipercayai merancang tunjuk perasaan itu. Anak perempuannya, Afreen Fatima, merupakan aktivis terkenal yang memperjuangkan hak asasi masyarakat Islam dan pernah menyertai tunjuk perasaan terhadap undang-undang kerakyatan yang menimbulkan kontroversi. 

Seorang bekas ketua hakim di Mahkamah Tinggi Allahabad memberitahu akhbar The Indian Express bahawa perbuatan merobohkan rumah Encik Ahmed itu "benar-benar melanggar undang-undang". 

"Jika anda membuat anggapan sedetik pun bahawa pembinaan rumah itu melanggar undang-undang, yang juga merupakan cara kehidupan jutaan penduduk India, anda tidak dibenarkan merobohkan sebuah rumah pada hari Ahad apabila penduduk ditahan," kata bekas Ketua Hakim Govind Mathur. 

Seorang pegawai daripada Penguasa Pembangunan Prayagraj (PDA) yang merobohkan rumah Encik Ahmed, berkata ia sudah memberikan notis kepadanya pada Mei, memintanya untuk tampil memberi penjelasan. Namun, Cik Fatima menyangkal kenyataan itu dan berkata keluarganya hanya dimaklumkan apabila notis ditampal pada pintu mereka pada Sabtu (11 Jun). 

Sekumpulan peguam juga menulis ke mahkamah tinggi dan menegaskan bahawa perbuatan merobohkan rumah itu melanggar undang-undang. 

"Tiada notis sebelum ini mengenai pembinaan rumah yang melanggar undang-undang yang diterima tertuduh atau isterinya," menurut surat itu. 

Ini bukan kali pertama Uttar Pradesh dan beberapa wilayah di bawah pimpinan BJP dituduh merobohkan rumah untuk menyasarkan penunjuk perasaan. Para pakar menyoal sama ada kaedah itu dibenarkan di bawah undang-undang. 

"Anda sedang menghukum anggota sebuah masyarakat tanpa mengikuti sebarang proses. Ini bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi ia juga membahayakan," kata Ashhar Warsi, seorang peguam kanan, kepada BBC pada April. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan