Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rumah jagaan warga emas di Jepun 'gajikan' bayi, bayar gaji lampin dan susu formula

Anggaran Waktu Membaca:
TOKYO: Sebuah rumah jagaan warga emas di selatan Jepun "menggajikan" bayi bagi satu tugasan penting, iaitu untuk menemani penghuninya dan membawa keceriaan sehingga membuat mereka tersenyum. Gaji mereka? Lampin dan susu formula.

Untuk diambil bekerja di kemudahan yang terletak di Kitakyushu itu, pemohon harus berusia bawah empat tahun, dan penjaga mereka perlu menandatangani sebuah kontrak yang menyatakan bahawa bayi dan kanak-kanak terbabit boleh datang bekerja "pada bila-bila masa yang mereka mahu".

Di bawah kontrak itu juga, bayi dan kanak-kanak tersebut dibenarkan berehat "apabila lapar, mengantuk atau bergantung kepada mood mereka".

Menurut ketua pusat penjagaan itu Kimie Gondo,lebih 30 bayi sudah mendaftar setakat ini dan ditugaskan untuk keceriaan lebih 100 penghuni, yang kebanyakannya berusia 80-an tahun.

"Melihat kelibat bayi sahaja sudah membuatkan penduduk kami tersenyum," kata Cik Gondo kepada AFP, sambil seraya tergelak tidak "terdapat sebarang jadual bekerja atau apa-apa seumpamanya".

Satu iklan pekerjaan yang ditampal pada dinding di kemudahan tersebut tertera: "Kami sedang cari pekerja!" dalam tulisan besar dan memaklumkan bahawa bakal pekerja akan menerima ganjaran bagi perkhidmatan mereka dalam bentuk lampin dan susu tepung.

Tanggungjawab utama dan mungkin satu-satunya tugasan bagi calon yang berjaya ialah untuk "bersiar-siar" di sekitar pusat jagaan berkenaan dengan ditemani penjaga mereka.

"Bayi-bayi tersebut akan berada bersama ibu mereka sepanjang masa. Ia seperti mereka dibawa berjalan-jalan di taman," ujar Cik Gondo.

Penghuni di pusat tersebut kelihatan gembira dengan kehadiran pekerja cilik itu. Malah, mereka dilihat ceria menyapa, mengajak mereka berbual-bual mahupun memberi pelukan kepada mereka.

"Mereka comel. Ia mengingatkan saya sewaktu menjaga anak dulu" kata seorang penghuni kepada stesen TV tempatan..

Setakat ini, skim tersebut menunjukkan hasil yang mengalakkan, menurut Cik Gondo.

"Sesetengah kanak-kanak itu begitu serasi dengan penghuni kami, malah mereka kini seperti datuk nenek dengan cucu sebenar," katanya.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan