Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rumah inap berkonsep kampung semakin diminati di M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
KEPALA BATAS: Rumah inap atau 'homestay' dengan suasana kampung yang nostalgik semakin diminati orang ramai yang ingin lari daripada hiruk-pikuk di bandar, sekali gus memberikan peluang baik kepada pengusahanya untuk meraih pendapatan lebih tinggi.

Antara rumah inap yang menawarkan gaya tradisional di negeri Pulau Pinang, Malaysia, ialah Homestay Klasik ZJ yang terletak di Penaga di Kepala Batas. Rumah inap yang berkonsepkan rumah kayu tradisional Melayu, dikelilingi sawah padi dan pokok kelapa, mampu mengimbau nostalgia kehidupan di kampung semasa zaman kanak-kanak bagi sesetengah tetamunya.

Zulhisyam Jamaluddin, 42 tahun, yang memulakan kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional Pulau Pinang pada 2001 hingga 2018, terpaksa memikirkan bidang lain setelah berhenti kerana perlu menjalani pembedahan lutut.

Beliau berkata minat untuk mengusahakan rumah inap tradisional di samping sokongan orang di sekelilingnya mendorongnya untuk membuka Homestay Klasik ZJ, yang mula beroperasi Disember 2022.

"Saya juga mengukir sendiri reka bentuk kayu untuk rumah inap berkenaan yang mengambil masa hingga tujuh bulan untuk siap sepenuhnya.

"Saya mendapat inspirasi dan idea daripada Facebook serta YouTube bagi reka bentuk dan ukiran corak zaman dahulu," katanya kepada agensi berita Bernama baru-baru ini.

Encik Zulhisyam, yang kini berkhidmat di Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, berkata rumah inap yang diusahakan itu turut menyediakan basikal antik buat pengunjung meneroka sekitar kampung, tempat barbeku, buaian buatan tangan dan pelantar buluh untuk berehat di tepi sungai.

"Sambutan orang ramai sangat menggalakkan. Kebanyakannya datang dari bandar seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor yang memilih untuk menikmati suasana kampung di sini," katanya sambil menambah harga untuk satu malam termasuk hujung minggu atau cuti umum ialah RM200 (S$60) dan boleh menempah melalui laman Facebook Homestay Klasik ZJ.

Sementara itu, Abdul Raof Razalli, 63 tahun, seorang pesara, berkata permintaan yang tinggi mendorongnya untuk membuka rumah inap berkonsepkan tradisional Kedah iaitu Permatang Rambai Homestay di Penaga.

"Orang dari bandar kini lebih gemar menginap di rumah tradisional kerana memberi mereka ketenangan dan kedamaian. Malah, ada anak-anak yang tidak pernah merasai kehidupan di kampung, tidak pernah melihat sawah padi," katanya.

Beliau berkata dengan peningkatan kos sara hidup masa ini, orang ramai memilih untuk bercuti di rumah inap tradisional yang menawarkan harga lebih murah dan masakan kampung yang enak berbanding rumah inap moden.

"Harga yang saya tawarkan ialah RM180 (S$54) satu malam tidak kira hujung minggu, hari biasa atau cuti umum. Layari laman Instagram kami dan Google untuk membuat tempahan," ujarnya.
 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan