RTS Link tepati jadual bagi pelancaran pada Jan 2027 meski berdepan tekanan tenaga global
Laluan Sistem Gerak Cepat (RTS) Johor Bahru-Singapura kekal di landasan untuk pelancaran yang dijadualkan pada Januari 2027 meskipun berdepan tekanan berkaitan tenaga global, kata Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke pada Jumaat (3 Apr), menurut laporan media tempatan.
Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke (tengah) di tapak binaan stesen RTS Link di Johor Bahru pada 3 November 2025. (Gambar: Kementerian Pengangkutan Malaysia)
Mengenai tambang, Encik Loke berkata RTS Operations Pte Ltd (RTSO), pengendali rel itu, dijangka mengemukakan cadangan harga pada suku ketiga kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia dan Penguasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA).
Pakej tambang tersebut akan dipertimbangkan oleh kedua-dua pemerintah sebelum harga diumumkan kepada orang ramai menjelang hujung tahun, katanya.
RTSO merupakan usaha sama antara pengendali pengangkutan milik negara Malaysia, Prasarana Malaysia Bhd, dan SMRT Corporation dari Singapura.
“Pembentangan itu adalah untuk mendapatkan persetujuan daripada kedua-dua pemerintah,” kata Encik Loke.
Encik Loke turut berkata Malaysia terbuka untuk memperkenalkan pas bermusim bagi para penumpang yang kerap merentas sempadan, namun menegaskan bahawa sebarang skim sedemikian harus berdaya maju dari segi komersial dan berkemungkinan memerlukan subsidi pemerintah.
Beliau berkata pas bermusim pengangkutan awam “biasanya melibatkan subsidi pemerintah”, sambil menambah pihaknya perlu meneliti bagaimana ia boleh menyokong rakyat Malaysia, tetapi “tidak akan memberi subsidi kepada warga asing”. Beliau menambah Singapura berkemungkinan mengambil pendirian yang sama.
Encik Loke berkata sebarang cadangan pas bermusim perlu dibincangkan dengan RTSO kerana perkhidmatan itu merupakan operasi rel rentas sempadan yang melibatkan kedua-dua Malaysia dan Singapura.
Beliau berkata isu utama adalah sama ada hasil berulang daripada pas sedemikian dapat menampung kos operasi, meskipun terdapat minat dasar untuk membantu penumpang Malaysia.
Kenyataan beliau dibuat selepas beliau memberitahu media tempatan pada Rabu bahawa krisis tenaga adalah suatu “perkara yang sangat, sangat serius” dan kerajaan Malaysia telah memasuki “mod krisis”.
Malaysia berdepan kesan limpahan daripada ketidaktentuan pasaran tenaga global yang berkait dengan perang Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, yang meningkatkan kos tenaga serta menambah tekanan ke atas bil subsidi bahan api negara itu.
Namun, Encik Loke berkata projek RTS Link tidak akan terjejas kerana ia sudah memasuki fasa pemasangan sistem, dengan pembinaan fizikal utamanya hampir selesai.
KRISIS TENAGA TIDAK JEJASKAN RTS LINK
Bercakap selepas melakukan lawatan ke tapak projek pada Jumaat, Encik Loke berkata kerja-kerja di Stesen Bukit Chagar dan kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) berada pada fasa akhir.
Beliau berkata pemasangan e-gate di kompleks ICQ sudah selesai, manakala kerja pemasangan pengimbas badan dan bagasi sedang dijalankan.
“Sekarang ini, ia berada pada fasa pemasangan sistem,” kata beliau, sambil menambah bahawa peringkat ini melibatkan kos bahan api yang terhad dan tidak sepatutnya terjejas oleh situasi tenaga global.
Beliau turut berkata kontraktor tidak mengemukakan permintaan berkaitan peningkatan kos dan perbelanjaan kekal terkawal “mengikut kos asal”.
Peringkat seterusnya bagi projek tersebut akan melibatkan ujian penerimaan, integrasi dan dinamik, diikuti ujian kesiapsiagaan lapangan yang dijadual bermula pada September.
Pada Februari, Encik Loke berkata tambang sehala dijangka sekitar S$5 hingga S$7.
Beliau turut menambah ketika itu bahawa tambang bagi perkhidmatan rel rentas sempadan itu tidak mungkin semurah pengangkutan awam di Kuala Lumpur, namun masih lebih menjimatkan berbanding jikalau seseorang itu memandu ke Singapura.
Beliau juga berkata pada Februari lalu bahawa Singapura tidak akan memberikan subsidi, bermakna model operasi perlu dijadikan mampan secara komersial.
Encik Loke dijadual bertemu dengan rakan sejawatannya dari Singapura lewat bulan ini untuk menilai kemajuan dan usaha integrasi menjelang pembukaan yang dijadualkan, menurut laporan tempatan.
RTS Link melengkapkan ujian pertamanya pada Disember 2025. Para pakar berkata ia dijangka mengurangkan kesesakan trafik di pusat pemeriksaan sehingga 25 peratus.
Laluan rel sepanjang empat kilometer itu akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru, Malaysia dengan Woodlands North di Singapura.
Ia berupaya menampung sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, dengan jumlah penumpang harian dianggarkan sekitar 40,000 apabila operasi dimulakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.