Skip to main content

Dunia

RTS Link: Keselamatan, pengesanan ancaman jadi keutamaan, kata Menteri KDN Malaysia

Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia akan memastikan aspek keselamatan, kawalan imigresen, pengesanan ancaman dan kecekapan operasi diberi keutamaan bagi menjamin kelancaran operasi Laluan Sistem Gerak Cepat (RTS Link) Johor Bahru-Singapura yang dijangka menjadi laluan darat paling sibuk di negara ini.

Anggaran Waktu Membaca:
RTS Link: Keselamatan, pengesanan ancaman jadi keutamaan, kata Menteri KDN Malaysia

Menteri Dalam Negeri Malaysia Saifuddin Nasution Ismail (dua dari kiri) menaiki kereta api RTS di Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru pada 8 Mei 2026. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)

Diterbitkan : 08 May 2026 06:05PM
JOHOR BAHRU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia akan memastikan aspek keselamatan, kawalan imigresen, pengesanan ancaman dan kecekapan operasi diberi keutamaan bagi menjamin kelancaran operasi Laluan Sistem Gerak Cepat (RTS Link) Johor Bahru-Singapura yang dijangka menjadi laluan darat paling sibuk di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Malaysia Saifuddin Nasution Ismail berkata kesemua elemen tersebut akan dipastikan berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi menjelang operasinya pada Januari 2027.

Beliau berkata RTS Link akan dilengkapi dengan kemudahan kawalan keselamatan, sekali gus membantu meningkatkan keupayaan pengesanan sebarang bentuk potensi ancaman di pintu masuk negara.

“Teknologi yang akan kita guna pakai menjanjikan kelancaran aliran penumpang, tetapi KDN tidak berkompromi dari segi tanggungjawab untuk memeriksa aspek keselamatan.

“Tiada toleransi terhadap cubaan mengelak pemeriksaan dan tidak akan ada ruang sama sekali kepada mana-mana pihak yang berhasrat menyalahgunakan sistem,” kata Encik Saifuddin Nasution sambil menambah terdapat lebih 120 pintu masuk negara melibatkan darat, air dan laut.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Stesen Bukit Chagar bagi meninjau projek RTS Link  Johor Bahru-Singapura, di Johor Bahru pada Jumaat (8 Mei).

Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Encik Saifuddin Nasution berkata kemudahan kawalan keselamatan RTS Link antaranya dilengkapi dengan 18 unit mesin pengimbas bagasi, 22 unit mesin pengimbas badan dan 10 unit mesin pengimbas "walkthrough" berteknologi gelombang millimeter yang ketika ini sedang dipasang dan diuji.

Mesin pengimbas tersebut turut dilengkapi dengan sistem Pengesanan Ancaman Automatik yang membolehkan proses pemeriksaan dilaksanakan secara pantas, tepat dan tersasar tanpa menjejaskan kelancaran aliran penumpang.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 794 waran perjawatan bagi memastikan kesiapsiagaan sumber manusia menyusuli operasi sistem transit berkenaan sudah diluluskan dengan AKPS merupakan komponen terbesar, meliputi 640 perjawatan diikuti 107 perjawatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 47 Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Sekarang proses pengisian sedang dilakukan secara berperingkat supaya apabila operasi bermula nanti, kita tidak berdepan kekangan sumber manusia,” kata Encik Saifuddin Nasution.

Menurut beliau, sebanyak 478 pegawai lantikan baharu itu akan mula menjalani latihan operasi di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Segamat bermula 22 Jun hingga 27 September.

Selepas itu, beliau berkata mereka akan ditempatkan dahulu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dekat Iskandar Puteri pada 1 Oktober, sebelum operasi sistem transit itu.

RTS Link Johor Bahru-Singapura yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada Januari 2027 menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru ke Stesen Woodlands North di Singapura dengan tempoh masa perjalanan hanya lima minit.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita