Skip to main content

Dunia

RTS JB-SG bakal dilengkapi 100 laluan elektronik di imigresen Bukit Chagar

Anggaran Waktu Membaca:
RTS JB-SG bakal dilengkapi 100 laluan elektronik di imigresen Bukit Chagar
Pandangan stesen RTS Bukit Chagar dari atas bangunan berdekatan. (Gambar: BERNAMA)
Diterbitkan : 01 Feb 2026 01:01PM Dikemas Kini : 01 Feb 2026 03:06PM
JOHOR BAHRU: Laluan Sistem Gerak Cepat (RTS) Johor Bahru-Singapura bakal dilengkapi 100 'e-gate' atau pagar elektronik di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar bagi melancarkan proses pelepasan rentas sempadan antara kedua-dua negara.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MRT Corp Mohd Zarif Hashim berkata kemudahan 'e-gate' itu adalah komponen teras model ICQ, yang membolehkan penumpang melengkapkan pemeriksaan imigresen Malaysia dan Singapura di kemudahan yang sama. 

Beliau berkata sistem berkapasiti tinggi itu direka bagi mempermudah pergerakan penumpang serta mengurangkan kesesakan, khususnya semasa waktu sibuk perjalanan.

“Selain 100 laluan 'e-gate', Kompleks ICQ Bukit Chagar juga akan dilengkapi 10 laluan pemeriksaan badan, 18 pengimbas bagasi serta laluan khusus untuk penumpang yang tidak membawa bagasi, bertujuan meminimumkan kesesakan dan memastikan aliran penumpang yang lancar,” katanya kepada Bernama.

Encik Mohd Zarif berkata pelaksanaan 'e-gate' berkenaan mendapat kerjasama rapat pihak berkuasa imigresen Malaysia dan Singapura, termasuk pelepasan pasport menggunakan kod QR, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pemeriksaan manual.

Selain menjimatkan masa, beliau berkata kelebihan utama sistem itu adalah dari segi kebolehpercayaan dan keberkesanan, sekali gus membantu perancangan perjalanan pengguna dengan lebih teratur.

Encik Mohd Zarif berkata pada peringkat awal operasi Laluan RTS diunjurkan membawa 40,000 penumpang sehari, dan dijangka meningkat kepada kira-kira 140,000 penumpang sehari, sekali gus bakal menyumbang 30 hingga 40 peratus pergerakan di Koswe apabila perkhidmatan berkenaan beroperasi sepenuhnya. 

Kemudahan itu antara ciri utama yang menyokong objektif RTS Link untuk beroperasi sebagai pintu masuk antarabangsa bertaraf dunia, sekali gus memperkukuh peranan pengangkutan awam sebagai mod perjalanan rentas sempadan yang dipercayai dan menjadi pilihan, apabila sistem itu mula beroperasi selepas pembinaan siap pada 31 Disember 2026.

Beliau berkata MRT Corp juga menubuhkan Pusat Maklumat Projek di pejabat Laluan RTS, yang menampilkan kios interaktif mempamerkan maklumat utama projek serta lawatan maya jajaran RTS, bagi membantu pengunjung memahami bagaimana sistem itu berfungsi secara bersepadu.

“Dalam menyediakan rangka kerja untuk pengalaman pelanggan, MRT Corp mengambil iktibar daripada pintu masuk sedia ada seperti KLIA serta penanda aras pendekatan adalah berdasarkan piawaian antarabangsa, termasuk Lapangan Terbang Changi,” katanya.
 
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita